Isu tanah jerlus bebankan pesawah

Keadaan sawah jerlus yang membebankan pesawah ketika ini.
Keadaan sawah jerlus yang membebankan pesawah ketika ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pesawah di utara Semenanjung kini dibelenggu masalah tanah sawah jerlus akibat cuaca yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, masalah tanah jerlus ini merugikan pesawah kerana padi mereka tidak dapat dituai selain struktur sawah rosak.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Petani, Parti Keadilan Rakyat berkata, pihaknya menerima laporan dari pelbagai kawasan di negeri ini, Perlis dan Seberang Perai tentang tanah sawah jerlus.

"Ketika tinjauan saya di Kampung Kubang Siam, Kedah pada Selasa, 28.8 hektar daripada 115 hektar tanah sawah di situ terjejas akibat tanah jerlus.



" Saya juga menerima maklumat dari pesawah di Bohor Karang, Perlis dan hampir 500 hektar tanah sawah yang terjejas di sana," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, pendapatan pesawah yang terlibat secara umumnya berkurangan sehingga 30 peratus selain terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk memulihkan tanah sawah.

"Kejadian tanah sawah jerlus ini adalah penderitaan baharu pesawah selain peningkatan tinggi kos kerja sawah, kenaikan harga baja, racun, kos sara hidup dan pelbagai tekanan ekonomi pada waktu ini.

"Saya khuatir jika kerajaan tidak dibantu mereka dengan kadar segera, golongan ini akan muflis dan menderita," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman berkata, situasi itu juga akan mengancam pengeluaran makanan negara di waktu yang kritikal seperti sekarang.

Artikel Berkaitan:

Azman (tengah) sedang berbincang bersama pesawah ketika tinjauannya di Kampung Kubang Siam, Kedah pada Selasa.
Azman (tengah) sedang berbincang bersama pesawah ketika tinjauannya di Kampung Kubang Siam, Kedah pada Selasa.

"Oleh itu saya berharap pihak kerajaan Persekutuan segera menangani isu ini dengan cara yang berkesan.

"Kerajaan hendaklah membantu para petani mengatasi masalah tanah jerlus dengan bantuan teknikal seperti perparitan, penggunaan kapur (hydrated lime),penggunaan jentera yang lebih ringan dan sebagainya," jelas beliau.

Sementara itu, Azman menjelaskan satu penyelesaian jangka panjang perlu dicari supaya isu tanah jerlus ini tidak berulang.

"Selain itu, bantuan tunai dalam jumlah yang munasabah juga hendaklah disalurkan segera.

"Saya juga telah menghantar soalan Parlimen khusus berkenaan dengan isu ini dan akan usahakan agar isu ini ada penyelesaian yang sewajarnya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian turut melaporkan lebih 43 hektar sawah padi di Kampung Sungai Mati Teluk Chengai di Alor Setar tidak dapat diusahakan kerana ditenggelami air sejak dua tahun lalu.