Kisah malang Juventus

Tewas dua aksi Allegri tetap positif mengenai peluang Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto Agensi.
Tewas dua aksi Allegri tetap positif mengenai peluang Juventus dalam saingan Liga Juara-Juara. - Foto Agensi.
A
A
A

KISAH malang kelab Itali, Juventus yang tewas dua aksi berturut-turut dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara.

Kelab bimbingan Massimiliano Allegri itu kalah kepada juara dua kali Eropah, Benfica 1-2 pada Khamis dan sebelum ini kecundang kepada Paris Saint Germain (PSG) juga menerusi jaringan sama.

Biarpun Juventus mendahului seawal minit keempat menerusi Arkadiusz Milik, namun kelebihan itu dipadam oleh dua jaringan Joao Mario dan David Neres pada minit ke-43 dan 55.

"Saya sudah memberitahu pasukan ia boleh berlaku dalam bola sepak.

"Kami perlu bangkit sebagai satu pasukan dengan lebih tanggungjawab," ujar Allegri kepada Sky Sport Italia.

Gagal meraih sebarang mata dalam saingan elit di peringkat Eropah itu, Juventus mahu kembali fokus kepada aksi tempatan Serie A.

"Kami ada perlawanan penting menentang Monza dalam saingan liga domestik dan selepas itu akan memikirkan mengenai Eropah (Liga Juara-Juara). Ia pasti sukar tetapi kami masih ada harapan," kata Allegri.

Benfica kini di tangga kedua Kumpulan H dengan enam mata, terikat dengan PSG yang menang 3-1 di Maccabi Haifa.

Artikel Berkaitan:

Pada aksi ketiga, Benfica akan menerima kunjungan PSG pada 5 Oktober, manakala Juventus menentang Maccabi Haifa di Turin.