Taklimat pilihan raya: Keutamaan guru bertugas di sekolah

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan keutamaan guru adalah bertugas di sekolah masing-masing.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyemak rungutan beberapa pihak sebelum ini berhubung guru yang dikatakan dipaksa menghadiri taklimat penugasan pilihan raya umum (PRU) pada sesi pembelajaran.

"Keutamaan guru adalah bertugas di sekolah. Saya rasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) faham itu," katanya menerusi sesi sidang akhbar sempena pelancaran program pengukuhan sukan sepak takraw di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5 (1) di sini pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan dan keselamatan murid perlu dipertimbangkan sekiranya guru dipanggil untuk menghadiri taklimat tersebut secara serentak

"Kalau dibuat taklimat panggil satu sekolah, siapa nak jaga anak-anak?" soalnya.

Mohd Radzi berkata demikian mengulas mengenai laporan portal berhubung guru dipaksa menghadiri taklimat penugasan PRU ketika waktu persekolahan yang dilihat menganggu pembelajaran murid.

Menteri Pendidikan itu berkata, pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan SPR bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.

"Kalau boleh masa untuk menghadiri taklimat itu kita perincikan bagi memastikan bahawa tugas hakiki guru tidak akan terganggu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPM menyasarkan 1,200 orang murid berusia 12 tahun ke bawah dari 150 buah sekolah di seluruh negara untuk dikenal pasti sebagai potensi bakat dalam sukan sepak takraw dan akan ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM di daerah, sekolah sukan negeri (SSN) dan sekolah sukan Malaysia (SSM).

Artikel Berkaitan:


Mengulas lanjut mengenai hala tuju program pengukuhan sukan itu, Mohd Radzi berkata, KPM menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar ia selari dengan pengurusan program kedua-dua kementerian.

"Perlu diingatkan apa sahaja sukan ia bermula di sekolah sebab itu kita perlu memainkan peranan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan," katanya.

Tambah beliau, KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dengan menyediakan ruang dan peluang penglibatan aktif dalam membentuk kemenjadian murid melalui sukan.