PRN: Salah tawar elaun pengangkutan jika bertujuan pengaruh pilihan raya

Gambar hiasan. Gambar kecil: Jais Abdul Karim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Tawaran pemberian elaun pengangkutan pulang mengundi dalam konteks pilihan raya di Malaysia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sekiranya mampu menimbulkan isu salah guna sumber kerajaan negeri dan persekutuan bagi mendapatkan kelebihan undian semata-mata.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, lebih-lebih lagi inisiatif tersebut mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung untuk menyokong calon kerajaan negeri berkenaan.

Katanya, rasuah boleh berlaku apabila terdapat usaha untuk memberikan atau menerima sesuatu yang bernilai dengan tujuan mempengaruhi hasil pilihan raya atau mendapatkan keuntungan tidak sah.

"Sekiranya kemudahan pengangkutan pulang mengundi ini diberikan secara wajar dan tidak melibatkan tindakan penyuapan atau manipulasi, umumnya ia tidak dianggap sebagai rasuah.

"Namun, jika terdapat bukti atau petunjuk adanya tindakan yang melanggar undang-undang atau menunjukkan penyalahgunaan proses pilihan raya, perkara tersebut perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," jelasnya pada Ahad.

Jumaat lalu, Pas mencadangkan kesemua enam negeri yang terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada pelajar supaya mereka dapat pulang mengundi pada 12 Ogos nanti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti yang dilakukan kerajaan negeri Kelantan, sewajarnya menjadi ikutan negeri lain sekali gus dapat meningkatkan peratus keluar mengundi.

Tambah Jais, pihaknya berpandangan jika penyediaan bas itu merupakan bantuan kemudahan pengangkutan untuk mendorong pengundi bagi melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara adalah wajar dari segi faktor kenegaraan.

"Secara tegas perlu diingatkan bahawa inisiatif seperti ini tidak boleh mempamerkan sebarang lambang parti atau imej calon yang mampu mempengaruhi undi seseorang.

"Justeru, MCW menggesa agar isu ini diteliti dengan lebih terperinci berdasarkan undang-undang sedia ada walaupun inisiatif ini datangnya dari pihak kerajaan negeri,"katanya

Ujar beliau, status atau niat tindakan itu mesti dijelaskan dengan baik agar tidak mengelirukan rakyat dan tidak bercanggah dengan undang-undang serta tafsiran rasuah dalam konteks pilihan raya di Malaysia.