Gates syor cipta benih ajaib tangani isu perubahan iklim

GATES
GATES
A
A
A

WASHINGTON - Bekas lelaki terkaya di dunia, Bill Gates telah meminta pelaburan lebih besar dalam bidang penciptaaan benih yang boleh disesuaikan dengan perubahan iklim dan menentang perosak pertanian.

Dalam laporan tahunan Goalkeepers Report terbaharu daripada Yayasan Bill & Melinda Gates, beliau berkata, krisis kebuluran global sangat besar sehingga bantuan makanan tidak dapat menangani masalah itu dengan sepenuhnya.

Apa yang diperlukan katanya, adalah inovasi dalam teknologi pertanian yang boleh membantu memulihkan krisis tersebut.

Gates telah menunjukkan kejayaannya mencipta benih ajaib termasuk jagung yang telah dibiakkan. Ia adalah hasil pelaburan oleh yayasannya supaya ia menjadi lebih tahan terhadap iklim lebih panas dan kering.

Benih ajaib itu juga melibatkan padi yang memerlukan masa hanya tiga minggu lebih sedikit untuk mendapatkan hasilnya.

Inovasi itu akan membolehkan produktiviti pertanian meningkat walaupun iklim berubah, katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bajet penyelidikan dan pembangunan untuk inovasi baharu seperti biji benih ajaib tersebut masih terlalu kecil berbanding perbelanjaan untuk bantuan makanan.

Yayasan Bill & Melinda Gates ialah yayasan swasta terbesar di dunia dan terkenal dengan kerja-kerjanya dalam kesihatan global termasuk vaksin.

Artikel Berkaitan:

Ia telah banyak melabur dalam teknologi pertanian termasuk melibatkan pembiakan sejenis benih jagung yang tumbuh subur pada suhu lebih tinggi dan dalam keadaan cuaca lebih kering dan dikenali sebagai DroughtTEGO.

Benih itu mula-mula dibangunkan di bawah program Yayasan Teknologi Pertanian Afrika yang mana Yayasan Gates telah memberikan sebanyak AS$131 juta (RM593.04 juta) sejak tahun 2008. - Agensi