Lima ahli sindiket penipuan guna Kit Pakej Android ditahan

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan sindiket penipuan melalui penggunaan fail 'Android Package Kit' (APK) yang boleh mengakibatkan mangsa kehilangan wang dari akaun bank mereka.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua individu warga tempatan berusia 17 hingga 21 tahun itu ditahan pada 24 Ogos lalu di Kuala Lumpur.

"Berdasarkan siasatan, kesemua mereka beroperasi dengan mencipta akaun palsu di laman sembang (chatting) terkenal.

"Mangsa yang ingin berkenalan dengan lebih rapat kemudiannya ditawarkan untuk melihat gambar serta video mereka melalui aplikasi lain yang akan dihantar melalui fail APK," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noorsiah berkata, mangsa juga dikehendaki untuk membuat pembelian token sebelum boleh mengakses aplikasi tersebut.

"Aplikasi yang berjaya dipasang akan mengakibatkan berlaku transaksi pengeluaran wang dari akaun mangsa," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan memuat turun fail APK yang dihantar terus ke telefon pintar oleh individu yang tidak dikenali atau memuat turun aplikasi APK dari sumber tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 untuk maklumat lanjut," katanya.