Khidmat rehabilitasi Parkinson percuma kepada veteran ATM

Penyakit Parkinson ialah salah satu daripada punca kehilangan upaya paling kerap berlaku dalam kalangan warga emas.
Penyakit Parkinson ialah salah satu daripada punca kehilangan upaya paling kerap berlaku dalam kalangan warga emas.
A
A
A

PETALING JAYA - Hospital rehabilitasi swasta pertama di Malaysia yang berlesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Hospital ReGen Rehab (ReGen Rehab) menawarkan khidmat penjagaan rehabilitasi Parkinson secara percuma kepada golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pegawai Eksekutif ReGen Rehab, Hanafi Salehuddin berkata, perkhidmatan percuma itu diberikan selama tiga bulan bermula 16 September ini hingga 15 Disember depan.

Katanya, usaha itu dibuat sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporatnya sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia pada 16 September ini menerusi pelancaran #MyParkinsonsPartner.

“Inisiatif ini bertujuan memberi penghormatan kepada kumpulan veteran ATM yang telah berkhidmat kepada Malaysia sebagai wira barisan hadapan.

"Untuk mengenang jasa dan pengorbanan mereka, kami memainkan peranan kami untuk menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang selayaknya diterima mereka, dengan menghulur tangan kepada pesakit Parkinson supaya mereka boleh berdikari dan kembali kepada keadaan fizikal terbaik," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Justeru itu, Hanafi menyeru semua veteran ATM yang disahkan menghidap penyakit Parkinson untuk merebut peluang mendapatkan rawatan rehabilitasi percuma berkenaan.

Jelasnya, penyakit Parkinson ialah salah satu daripada punca kehilangan upaya paling kerap berlaku dalam kalangan warga emas, tetapi hakikatnya mereka masih boleh menjalani kehidupan yang sihat dan aktif.

"Memandangkan penyakit ini melibatkan kemerosotan saraf, rehabilitasi memainkan peranan penting untuk memaksimumkan keupayaan fungsi dan mengurangkan kerumitan sampingan.

Artikel Berkaitan:

"Sambil kami menyeru bekas anggota tentera kita untuk tampil mendapatkan rawatan, kami juga berharap inisiatif ini akan memulakan usaha lebih luas ke arah penjagaan rehabilitasi dengan menyeluruh bagi masalah neurologi seperti Parkinson,” tambah Hanafi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Parkinson Malaysia (MPDA), Sara Lew memberitahu, inisiatif ReGen Rehab itu sememangnya satu usaha murni yang harus dipuji untuk menabur budi kepada masyarakat Malaysia, terutamanya golongan veteran ATM.

"Selain daripada meningkatkan kesedaran tentang penyakit Parkinson, usaha ini juga memberikan talian hayat dan sinar harapan kepada penghidap penyakit ini agar mereka dapat mengembalikan keupayaan bergerak dan menikmati kualiti kehidupan lebih baik menerusi rehabilitasi dan khidmat penjagaan sokongan yang sewajarnya," ujarnya.