Tiga remaja bawah umur tunggang motosikal ditahan

Pegawai JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya dalam Ops Khas Pengarah yang diadakan di Jalan Teluk Sisek Ahad lalu. Foto: JPJ Pahang
Pegawai JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya dalam Ops Khas Pengarah yang diadakan di Jalan Teluk Sisek Ahad lalu. Foto: JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Tiga remaja bawah umur antara yang ditahan dalam Ops Khas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang atas kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen, Ahad lalu.

Kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 792 kenderaan sepanjang operasi selama kira-kira empat jam yang diadakan di Jalan Teluk Sisek di sini.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, daripada keseluruhan kenderaan diperiksa, 192 telah diambil tindakan dengan 363 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan kes tertinggi dengan 115 kes diikuti cukai jalan tamat tempoh (67 kes), kesalahan nombor pendaftaran (30 kes), kesalahan teknikal (36 kes) dan memandu bawah umur (3 kes).

"Lima motosikal turut disita di atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan kenderaan yang tidak didaftarkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kamarul Iskandar berkata, operasi melibatkan 31 anggota termasuk pegawai itu menumpukan kepada kesalahan melibatkan kenderaan persendirian termasuk tidak memiliki lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

"JPJ Negeri Pahang menyeru ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak mereka memandu kenderaan di atas jalan raya tanpa lesen.

"Ia kerana mereka masih belum mendapat pendedahan berkaitan teknik pemanduan yang betul serta sistem perundangan yang terdapat di atas jalan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tindakan ibu bapa membenarkan anak bawah umur memandu di atas jalan raya boleh mengundang bahaya terhadap mereka dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Tambah beliau, semua pihak perlu bekerjasama dalam mewujudkan iklim pemanduan yang lebih selesa dan selamat demi kepentingan bersama serta membantu menurunkan kadar kemalangan di negara ini.