9 ditahan jual mercun, bunga api tanpa lesen di Pahang

Ramli (tengah) ketika sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.
Ramli (tengah) ketika sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Sembilan individu ditahan susulan menjual bunga api dan mercun tanpa lesen atau permit di sekitar daerah ini dan Pekan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan kesemua individu itu dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh 40 pegawai dan anggota unit penguat kuasa cawangan lesen Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu.

"Dalam pemeriksaan itu, kita telah menahan lima individu di daerah Kuantan manakala empat lagi di daerah Pekan.

"Mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun. Malah, kita turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada malam Rabu.

Ramli menjelaskan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali.

Ramli beramah mesra dengan pegawai dan anggota polis pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.
Ramli beramah mesra dengan pegawai dan anggota polis pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis Pahang menerima 414 permohonan menjual bunga api dan mercun sejak awal Ramadan.

Ujarnya, daripada jumlah itu sebanyak 340 permohonan diluluskan, 50 ditolak dan 34 lagi masih dalam proses.

"Ada permohonan terpaksa ditolak susulan pemohon gagal (melepasi) tapisan ditetapkan seperti mereka yang mempunyai rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain dan lokasi penjualan tidak sesuai.

"Malah, terdapat juga permohonan ditolak disebabkan melanggar syarat ditetapkan seperti berniaga secara dalam talian dan melebihi had simpanan ditetapkan," jelas beliau.

Sehubungan itu, Ramli mengingatkan orang ramai bahawa kebenaran menjual mercun dan bunga api bukanlah bermakna ia boleh dijual secara bebas.

Tegasnya, larangan bermain bunga api dan mercun masih berkuat kuasa dan tertakluk kepada Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Ramli menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.
Ramli menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan IPD Kuantan pada malam Rabu.

"Kelonggaran diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri melalui kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan berniaga bunga api untuk jualan umum sempena (musim) perayaan," katanya.

Ramli memaklumkan sehingga Rabu, pihaknya belum menerima laporan mengenai insiden atau kejadian tidak diingini akibat bermain mercun dan bunga api di negeri ini.

"Setakat ini belum ada insiden seperti di negeri jiran yang kita lihat dan dilaporkan dalam media. Kita harap orang ramai sentiasa berhemah dan berhati-hati ketika bermain mercun dan bunga api," katanya.