Dokumen siasatan libat suami Zeti perlu melalui MLA

Acryl Sani Abdullah Sani.
Acryl Sani Abdullah Sani.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang dikaitkan dengan suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Datuk Dr Tawfiq Ayman berhubung siasatan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagaimanapun berkata, bagi membolehkan dokumen yang perlu diperoleh di Singapura itu sah di sisi undang-undang Malaysia, ia perlu melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA).

"Pada April lalu, PDRM telah pun mengemukakan permohonan di bawah MLA melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa Singapura, ” katanya.



Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelantikan 104 figura sebagai duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Komersial di Maktab PDRM Cheras di sini pada Selasa.

Pada April lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan ke atas Tawfiq.

Menurutnya, pasukan penyiasat PDRM sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Commercial Affair Department (CAD) Singapura pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Tawfiq disiasat susulan dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB, namun beliau menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Menurut Tawfiq, beliau tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng, jauh sekali bertemu dan berkomunikasi dengan mereka.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada prosiding perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York awal tahun ini.

Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam laporannya mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil semula dari Singapura, yang disimpan syarikat milik Tawfiq.

Siasatan ke atas Tawfiq itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.