Enam lelaki didakwa culik ahli perniagaan minta tebusan RM8 juta

PETALING JAYA - Seramai enam lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan dua minggu lalu.
Semua lelaki itu ialah A Ravichandran,R Elan, M Jeyaraj, J Mosesdevritto, Ziyauddin dan Muhammad Afiq Safine membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama tujuh individu yang masih bebas, menculik seorang lelaki berusia 44 tahun, dengan niat untuk meminta tebusan RM8 juta di sebuah restoran nasi kandar di Dataran Sunway di sini jam 5.15 petang 16 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan, pihak polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang menjadi mangsa culik, dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta di sini pada 17 Julai lalu.
Mangsa diselamatkan menerusi operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah unit kediaman di Shah Alam pada jam 1 pagi.
MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

