40 penyelam kutip tapak sulaiman mahkota berduri

Penyelam mengutip tapak sulaiman mahkota berduri di Pulau Perhentian. - Foto ihsan Ary Yusri
Penyelam mengutip tapak sulaiman mahkota berduri di Pulau Perhentian. - Foto ihsan Ary Yusri
A
A
A

BESUT – Sebanyak 358 tapak sulaiman mahkota berduri (Crown of Thorns Starfish–COTS) berjaya dikutip oleh sekumpulan penyelam di sekitar Pulau Perhentian di sini melalui program Crown of Thorns and Beach Clean Up.

Pembantu Perikanan Cawangan Taman Laut Pengurusan dan Perlindungan Sumber Daerah Besut, Nazrul Azlinshah Ahmad Nazmi berkata, tapak sulaiman itu dikumpulkan oleh 40 penyelam daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Tapak sulaiman mahkota berduri yang dikutip dilupuskan dengan cara ditanam. - Foto ihsan Ary Yusri
Tapak sulaiman mahkota berduri yang dikutip dilupuskan dengan cara ditanam. - Foto ihsan Ary Yusri

Menurutnya, penyelam yang datang dari Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah, Sabah dan Kuala Lumpur itu berkumpul selama tiga hari bermula Ahad di Pulau Perhentian bagi menjayakan program berkenaan.

“Ini merupakan program tahunan Jabatan Perikanan bagi memelihara kawasan terumbu karang yang mengalami kerosakan disebabkan oleh COT, yang merupakan musuh utama terumbu karang.

“Kita memainkan peranan bagi melindungi kawasan terumbu karang terutama di lokasi perlindungan marin supaya terumbu karang di Pulau Perhentian tidak mengalami kepupusan,” katanya di sini pada Selasa.

Program pembersihan pantai turut diadakan di sekitar Pulau Perhentian. - Foto ihsan Ary Yusri
Program pembersihan pantai turut diadakan di sekitar Pulau Perhentian. - Foto ihsan Ary Yusri

Nazrul Azlinshah berkata, semua tapak sulaiman mahkota berduri atau nama saintifiknya 'Acanthaster planci' yang berjaya dikutip dilupus dengan cara ditanam di tepi pantai sedalam lebih satu meter.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program pembersihan pantai yang diadakan turut berjaya mengumpul hampir 40 kilogram sampah sarap seperti botol minuman dan pembungkus makanan yang ditinggalkan pengunjung.

“Program ini bertujuan mendidik komuniti setempat dan pelancong yang datang ke Pulau Perhentian supaya menyayangi alam sekitar kerana kerakusan manusia boleh menjejaskan usaha pemuliharaan kepelbagaian biologi marin.

“Kita juga gembira kerana program ini turut mendapat kerjasama daripada Imedikel Pharmacy, Abam Peah Holding Sdn Bhd dan Nordic Cosmetic,” katanya.

Penyelam yang menyertai program Crown of Thorns and Beach Clean Up di Pulau Perhentian. - Foto ihsan Ary Yusri
Penyelam yang menyertai program Crown of Thorns and Beach Clean Up di Pulau Perhentian. - Foto ihsan Ary Yusri