Ahmad Amzad stabil, batal program buat sementara waktu

Ahmad Amzad akan meneruskan kembali tugasnya selepas pulih sepenuhnya.
Ahmad Amzad akan meneruskan kembali tugasnya selepas pulih sepenuhnya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Semua program dan aktiviti melibatkan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam masa terdekat akan dibatal atau ditangguhkan buat sementara waktu.

Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dalam satu kenyataan kepada media berkata, keputusan itu dibuat sehingga kesihatan Ahmad Amzad pulih sepenuhnya dan mampu meneruskan kembali tugasnya.

“Datuk Amzad Hashim berada dalam keadaan stabil dan di bawah pemantauan doktor di Kuala Terengganu. Atas nasihat doktor, beliau diminta agar berehat secukupnya dan tidak menerima sebarang pelawat buat sementara waktu.

“Mohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan Datuk Amzad Hashim agar kembali pulih sepenuhnya supaya beliau dapat meneruskan khidmat kepada masyarakat seperti biasa,” katanya.

Ahmad Amzad sebelum ini dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini selepas dikatakan terlalu kepenatan dan ‘mengah’ ketika menyertai satu program mendaki sempena Hari Malaysia di Bukit Besar di sini pagi Selasa.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dipercayai mengalami masalah pernafasan, ketika mendaki bukit setinggi 156 meter dari aras laut itu bersama lebih 400 peserta, pada program anjuran kawasan Parlimen itu dengan kerjasama Pejabat Penerangan Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan: