Jualan Agro Makanan, FAMA Pahang raih RM150,000

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli ditemani Saiful (kanan) ketika melawat program Jualan Agro Makanan di sebuah pusat beli-belah di Kuantan.
Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli ditemani Saiful (kanan) ketika melawat program Jualan Agro Makanan di sebuah pusat beli-belah di Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mencatat jualan hampir RM150,000 melalui penganjuran program Jualan Agro Makanan yang membabitkan 23 usahawan dari dalam dan luar negeri ini.

Pengarahnya, Saiful Safri berkata, kutipan itu berjaya diraih apabila lebih12,000 pengunjung hadir mendapatkan pelbagai produk pertanian dan industri kecil sederhana (IKS) pada harga berpatutan.

"Kita berpuas hati dengan kutipan hasil jualan daripada pengunjung walaupun pada mulanya menyasarkan kutipan RM200,000 sepanjang tiga hari berlangsungnya program jualan itu.

"Jadi ini secara tidak langsung membuka ruang pasaran lebih besar kepada para usahawan dalam sektor pertanian, perladangan dan sebagainya untuk meningkatkan penjanaan pendapatan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau menjelaskan juga FAMA telah mengadakan program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) fasa pertama di lapan daerah di negeri ini dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Katanya, daerah terbabit ialah Pekan, Rompin, Bera, Kuantan, Lipis, Jerantut, Bentong dan Maran.

"Program sama selepas ini di Raub, Cameron Highlands dan Temerloh.

"Kita akan memastikan hingga akhir tahun ini semua daerah selesai mengadakan program JTDL dan jika keadaan mengizinkan fasa kedua program berkenaan akan dimulakan awal tahun depan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Saiful memaklumkan, program JTDL memasarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti sayuran, buah-buahan, ikan dan daging segar yang dijual dengan harga berpatutan oleh usahawan tempatan.

Menurutnya, program JTDL yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna yang ingin mendapatkan barangan murah.

"Setiap kali penganjuran JTDL, kita dapati antara 1,000 hingga 2,000 pengunjung datang bagi mendapatkan barangan keperluan," kata Saiful lagi.