Lelaki warga emas maut diserang kanggaru liar

Serangan kanggaru ke atas manusia tidak berlaku dengan kerap di Australia. - Foto AFP
Serangan kanggaru ke atas manusia tidak berlaku dengan kerap di Australia. - Foto AFP
A
A
A

SYDNEY - Seekor kanggaru liar disyaki membunuh seorang lelaki berusia 77 tahun yang memeliharanya sebagai haiwan peliharaan, kata polis Australia pada Selasa.

Ia merupakan serangan maut pertama yang dilakukan haiwan tersebut dalam tempoh 86 tahun.

Lelaki itu yang belum dikenal pasti ditemui oleh seorang saudaranya pada petang Ahad lalu dengan mengalami kecederaan parah di bandar selatan Redmond yang mempunyai penduduk tidak ramai di Australia Barat, kata polis.

“Lelaki itu dipercayai telah diserang oleh seekor kanggaru,” kata seorang jurucakap polis negeri seperti dilaporkan oleh AFP.

Jurucakap tersebut menyatakan terdapat seekor kanggaru yang menghalang kru ambulans daripada melalui lokasi lelaki yang telah diserang itu.

Polis berkata, haiwan itu terpaksa ditembak dan dibunuh kerana ia menimbulkan ancaman yang berterusan.

Kanggaru tersebut dipercayai haiwan liar yang dipelihara lelaki itu sebagai haiwan peliharaan, kata polis.

Spesies kanggaru itu masih lagi tidak dikenal pasti, namun wilayah Australia Barat adalah habitat untuk spesies kanggaru western grey.

Artikel Berkaitan:

Haiwan jantan spesies itu boleh membesar sehingga 2.2 meter panjang dan berat sehingga 70 kilogram.

Media Australia berkata, serangan terakhir yang dilaporkan oleh seekor kanggaru dipercayai berlaku pada tahun 1936.

Dalam kejadian itu, akhbar Sydney Morning Herald melaporkan bahawa seorang lelaki berusia 38 tahun, William Cruickshank telah meninggal dunia di hospital di New South Wales.

Dia meninggal dunia beberapa bulan selepas diserang haiwan tersebut ketika cuba menyelamatkan dua ekor anjing daripada seekor kanggaru besar.

Serangan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan parah di kepala. - Agensi