Riyadh keluarkan dua amaran keselamatan

RIYADH– Arab Saudi mengeluarkan dua amaran keselamatan di ibu negaranya, Riyadh, awal pagi Sabtu selepas satu objek dipercayai projektil dikesan melintasi ruang udara bandar itu ketika ketegangan dengan kumpulan Houthi di Yaman semakin memuncak.
Reuters melaporkan, seorang saksi melihat objek berkenaan bergerak di ruang udara Riyadh sambil meninggalkan jejak asap sebelum satu letupan kuat kedengaran.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Pertahanan Awam Arab Saudi kemudian mengeluarkan makluman bahawa ancaman keselamatan di ibu negara itu telah berlalu.
Dua amaran berkenaan merupakan yang pertama dikeluarkan di Riyadh sejak sebuah bangunan pencakar langit tertinggi di bandar itu mengalami kerosakan dalam serangan Houthi pada Khamis.
Pada Khamis, serangan yang dikaitkan dengan Houthi menyasarkan sebuah menara di daerah kewangan King Abdullah Financial District (KAFD), Riyadh.
Bangunan berkenaan dikenal pasti sebagai menara ibu pejabat Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF).
Pihak Pertahanan Awam mengesahkan beberapa tingkat bangunan dan struktur berhampiran mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
Sebelum kejadian itu, gabungan tentera pimpinan Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas ancaman peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Riyadh.
Sistem pertahanan udara negara itu turut memintas empat peluru berpandu balistik yang menyasarkan wilayah selatan berhampiran sempadan Yaman.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
