Tiada aktiviti ternak babi berhampiran Sungai Rambai

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Bakri
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Bakri
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Veterinar Negeri Sembilan telah mengeluarkan notis supaya menghentikan aktiviti penternakan kepada penternak babi tidak berlesen berhampiran Sungai Rambai, Lukut di Port Dickson beberapa bulan lepas susulan kejadian penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dan pencemaran di sungai berkenaan.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, malah isu berkenaan masih dalam perhatian pihaknya dan ia menjadi antara keutamaan untuk diselesaikan.

"Kita juga sudah menubuhkan satu jawatankuasa khas berhubung kes ini dan sedang merangka untuk mengambil tindakan pembersihan serta pemusnahan kandang babi berkenaan mengikut lunas undang-undang.

"Justeru tindakan lanjut akan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri minggu depan dengan mengambil kira pelbagai sudut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Sungai Rambai di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan menjadi satu-satunya sungai di Malaysia, menghuni tangga teratas sungai tercemar di Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2019 dan 2020.

Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2020 juga meletakkan sembilan lagi sungai tercemar berada pada Kelas Empat antaranya lima di Johor, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Melaka, Selangor/Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Bakri berkata, setakat ini tiada lagi laporan aktiviti penternakan babi di kawasan berkenaan terutamanya selepas kes penyakit ASF dikesan di sebuah ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Site A di Tanah Merah, Port Dickson pada April lepas.

"Saya sendiri telah ke lokasi melihat keadaannya dan memang tiada aktiviti penternakan ketika itu, namun kita akan memantau kawasan berkenaan daripada masa ke masa supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Artikel Berkaitan: