Pas yakin tawan Selangor pada PRU15

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi
Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas yakin kerjasama bersama rakan ta'awun dan peningkatan sokongan menerusi pertambahan ahli baharu mampu merampas Selangor daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, Selangor antara negeri yang mencatatkan pendaftaran ahli baharu tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Menurutnya, Selangor berada pada tangga keempat pertambahan keahlian tertinggi sepanjang tempoh lapan bulan bermula Januari lalu.

"Berdasarkan pengisytiharan yang dibuat semasa Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Alor Setar pada 3 September lalu, Terengganu mencatat 3,309 ahli baharu diikuti Kedah (3,247 orang), Kelantan (2,585 orang) dan Selangor (1,741 orang).

"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, 11 September lalu, Selangor sekali lagi mencatatkan jumlah teramai apabila mesyuarat meluluskan 579 ahli baharu untuk tempoh sebulan berakhir 9 September 2022," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kemampuan parti itu mendaftarkan rekod keahlian baharu yang ramai di negeri ditadbir PH adalah pencapaian luar biasa.

Katanya, pendekatan politik penyatuan ummah yang dibawa telah menambat hati rakyat Selangor.

"Ini didukung pula oleh kekuatan ahli-ahli dan aktivis Pas seluruh Selangor yang komited dan berdisiplin dalam menjalankan aktiviti dan gerak kerja masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Dengan kekuatan keahlian yang saban hari meningkat ini, Pas yakin dengan kerjasama rakan-rakan ta'awun, Selangor akan berjaya dirampas dari tangan PH dalam PRU15 nanti," katanya.