[VIDEO] Sultan Selangor perkenan tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

Najib (kanan) dan Rosmah.
Najib (kanan) dan Rosmah.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk menarik semula darjah kebesaran daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kerana masing-masing didakwa di Mahkamah Tinggi.

Setiausaha Kerajaan Selangor merangkap Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, penarikan balik keahlian darjah kebesaran negeri Selangor itu atas titah perintah Sultan Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.

Menurutnya, Najib dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.

Haris berkata, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd Pada 23 Ogos 2022.

"Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadap beliau, keahliannya sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada Isnin," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Haris berkata bagi Rosmah pula, beliau didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

Ujarnya, Mahkamah Tinggi pada 1 September 2022 mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

Artikel Berkaitan:

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada Isnin.

"Penarikan balik dan pembatalan Keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor," jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Haris turut memaklumkan gelaran bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman turut ditarik balik pada hari sama.

Katanya, Mohd Arif disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah, yang mana Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Oleh itu, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk, Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," katanya