Polis buru Eka Lestari disyaki curi barang kemas RM69,000

Cheng San (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar suspek yang sedang dikesan. Gambar kecil: Suspek yang merupakan seorang Indonesia.
Cheng San (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar suspek yang sedang dikesan. Gambar kecil: Suspek yang merupakan seorang Indonesia.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita warga Indonesia sedang diburu polis selepas disyaki mencuri barang kemas bernilai RM69,000 milik majikannya pada 8 September lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, wanita berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Eka Lestari itu merupakan pembantu rumah kepada pasangan doktor dan kakitangan hospital yang tinggal di Taman Bukit dekat sini.

Menurutnya, suspek dipercayai melarikan diri selepas tiga bulan bekerja di rumah terbabit selain membawa bersama pasportnya.

Beliau berkata, pasangan itu mengambil suspek secara persendirian tanpa menggunakan khidmat ejen.

"Kehilangan suspek yang dipercayai telah melarikan diri disedari majikannya yang berusia 33 tahun pada jam 6 pagi, 8 September lalu. Susulan daripada itu, lelaki itu telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Mangsa dan isterinya hanya menyedari barang kemas milik mereka hilang disyaki turut dibawa lari suspek pada 10 September lalu. Kehilangan tersebut disedari ketika isterinya ingin memakai barangan kemas tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT pada Isnin.

Dalam pada itu, Cheng San berkata, kesemua barangan kemas itu disimpan di dalam almari dalam sebuah bilik yang tidak digunakan.

"Barangan kemas itu disimpan dalam sebuah almari berkunci yang terletak dalam sebuah bilik yang dijadikan tempat menyimpan barang yang tidak digunakan. Tiada siapa yang tinggal di dalam bilik tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Pasangan tersebut mempunyai dua anak yang berusia tujuh dan empat tahun.

"Suspek dipercayai menggunakan kunci untuk membuka almari tersebut kerana siasatan mendapati, tiada kesan umpil pada almari berkenaan. Antara barangan kemas yang hilang adalah lebih 10 utas rantai, gelang, subang dan loket," jelas beliau.

Cheng San berkata, polis mengesyaki suspek telah lama merancang perbuatan terbabit selepas pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek telah melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang menunggu di hadapan kediaman majikannya.

"Rakaman CCTV yang kita peroleh dari rumah jiran mangsa, suspek keluar dari rumah pada jam 1 pagi, 8 September lalu dengan menaiki sebuah kereta yang sedang menunggunya di hadapan rumah mangsa. Oleh itu, kita percaya, suspek telah merancang perbuatan itu bersama individu lain sebelum ini.

"Kita sedang giat memburu suspek dan kereta yang digunakan membawa suspek pada hari kejadian," katanya.

Ujar beliau, suspek dipercayai masih berada dalam negara dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Inspektor Mohamad Suhaimi Ismail di talian 019-2909231 bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.