Maritim lancar operasi SAR kru kapal tangki warga Georgia

Shanidze Nodar, warga Georgia yang dikhuatiri lemas. - Foto Maritim Malaysia.
Shanidze Nodar, warga Georgia yang dikhuatiri lemas. - Foto Maritim Malaysia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kru kapal tangki yang sedang bersauh dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang setelah terjun laut di kedudukan 43.7 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, sekitar jam 5.30 pagi pada Ahad.

Pengarah Maritim negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa merupakan warga Georgia dikenali sebagai Shanidze Nodar, 22, bekerja sebagai kelasi.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima makluman daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya mengenai kejadian itu yang disampaikan oleh nakhoda kapal tangki terbabit melalui emel.

"Kali terakhir mangsa dilihat berada di atas kapal pada Sabtu lalu (10 September) memakai baju dan berseluar pendek berwarna hitam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Nurul Hizam, MRSC Johor Bahru sudah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 3.30 pagi Isnin.

"SAR membabitkan sebuah kapal KM PERWIRA dan bot ronda PERKASA 30 milik Maritim Malaysia serta sebuah bot FCB 1123 milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Keluasan sektor pencarian adalah seluas 20 batu nautika persegi dari lokasi kapal bersauh," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: