Menuju ke arah pembersihan sistem politik

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Negara bergerak satu langkah menuju ke arah pembersihan sistem politik apabila perancangan memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Berkaitan Sumbangan Politik sedang dijalankan sebelum dibentang pada mesyuarat Parlimen.

Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju secara prinsip dengan penggubalan RUU berkenaan.

Beliau juga akan menyusul pandangan jemaah menteri agar kerangka perundangan yang dicadangkan bagi RUU tersebut dikemukakan kepada Jawatankuasa Teknikal Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik untuk diperhalusi sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen.

Ujar Wan Junaidi, beliau telah membentangkan skop dasar bagi RUU Sumbangan Politik dalam mesyuarat jemaah menteri pada 7 September lepas iaitu Pengawal Sumbangan Politik dijadikan sebuah entiti bebas bagi mengawal selia sumbangan politik di negara ini.

Beliau berkata, penggubalan RUU itu akan mengambil kira pandangan pihak-pihak berkepentingan termasuk parti politik melalui sesi libat urus yang diadakan.

Susulan itu, keputusan tersebut dijangka dapat memperketatkan lagi undang-undang sedia ada seterusnya mengelakkan penyelewengan daripada pihak-pihak tertentu dalam kalangan ahli politik.

Sumbangan politik seharusnya perlu ada dasar serta garis panduan yang jelas supaya ia tidak disalah guna dalam parti.

Isu melibatkan sumbangan politik pernah hangat diperkatakan dalam negara ini terutama melibatkan perbicaraan kes rasuah ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi baru-baru ini apabila seorang saksi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membongkar mengenai isi kandungan buku lejar syarikat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan jawapan saksi ke-17 tersebut, beliau mendedahkan beberapa lagi nama ahli politik yang terdapat dalam buku lejar 'panas' itu.

Selain Tan Sri Muhyiddin Yassin, empat lagi nama yang disebut saksi itu ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Dalam pada itu, isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta yang didakwa masuk ke dalam akaun Pas juga menjadi topik hangat yang diperkatakan oleh pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari pada Ahad menyifatkan isu berkenaan sebagai modal basi yang diperbaharui semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, isu berkenaan telah disolek secukupnya oleh segelintir pihak dengan harapan dapat dijadikan cerita baharu untuk berdepan pilihan raya umum kelak.

Namun begitu, kontroversi membabitkan sumbangan dan dana politik ini perlu segera ditangani bagi mengelak ketirisan dan penyelewengan.

Keperluan penggubalan RUU Berkaitan Sumbangan Politik tidak boleh ditunggu lagi malah perlu disegerakan supaya negara dapat maju ke arah hala tuju bebas korupsi dan tanpa rasuah.