Laporan pesawat ringan terhempas akan didedah masa terdekat

Ka Siong (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad.
Ka Siong (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di sebuah hotel di Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pengangkutan akan mendedahkan laporan awal mengenai insiden sebuah pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, di sini pada 1 Ogos lalu dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, siasatan mengenai nahas tersebut dilakukan oleh badan bebas yang terdiri daripada individu bukan dalam kalangan pegawai kementerian.

Menurutnya, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), siasatan terhadap mana-mana nahas yang berlaku akan mengambil masa sebulan sebelum laporan disiapkan.

"Dalam tempoh sebulan daripada jawatankuasa atau pasukan yang dibentuk, mereka kena memberi kepada saya satu laporan, jadi saya akan semak.

"Apabila sampai sahaja (laporan berkenaan), kita akan terus dedahkan dari segi siasatan awalan apa hasil siasatan yang dibuat oleh bahagian ini dan akhirnya tindakan jangka panjang akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM)," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Pada 1 Ogos lalu, pesawat ringan jenis Piper 28-161 terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng.

Dalam insiden kira-kira jam 8 malam itu, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan: