MBSJ sasar kutipan hasil cukai RM316 juta menjelang 2023

Johary ketika berucap di Sesi Townhall Bajet MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna USJ 7, di sini pada Ahad.
Johary ketika berucap di Sesi Townhall Bajet MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna USJ 7, di sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan hasil kutipan cukai sebanyak RM316 juta menjelang tahun 2023.

Datuk Bandarnya, Datuk Johary Anuar berkata, jumlah tersebut ditingkatkan sebanyak 12.9 peratus berjumlah RM35.8 juta berbanding dengan anggaran bagi tahun 2022.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, RM206.53 juta atau 64 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus dan RM110.41 juta atau 35 peratus untuk belanja pembangunan.

"Perbelanjaan pembangunan dilihat agak kecil jumlahnya berbanding dengan permintaan atau keperluan masyarakat setempat.

"Namun, MBSJ akan menggunakan Kumpulan Wang Amanah berjumlah RM72.13 juta untuk melaksanakan perancangan pembangunan mampan seperti kompleks sukan beserta kemudahan awam di Pusat Bandar Puchong," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Townhall Bajet MBSJ 2023 di Dewan Serbaguna USJ 7, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Johary berkata, pendapatan MBSJ mencapai kutipan 80 peratus berjumlah RM 222.14 juta setakat 31 Ogos lalu.

Ujarnya, keseluruhan perbelanjaan MBSJ mencapai 57 peratus iaitu RM169.71 juta meliputi nilai RM 116.70 juta (60.6 peratus) dan belanja pembangunan sebanyak RM 53.0 juta (50.43 peratus).

Artikel Berkaitan:

"Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penduduk yang menunaikan tanggungjawab mereka membayar cukai taksiran.

"Dengan komitmen penduduk sebegini, membolehkan pihak majlis dapat mengurus bandar raya ini dengan lebih lancar dan baik terutama dalam menghadapi krisis bencana alam," katanya.

Pada Ahad, MBSJ menganjurkan Sesi Townhall Bajet MBSJ 2023 bagi menerangkan mengenai kedudukan kewangan serta mendapatkan cadangan konstruktif daripada komuniti serta pemegang taruh.

Cadangan-cadangan tersebut kemudiannya digunakan untuk dipertimbangkan sebagai input dalam merangka strategi berkaitan pelan belanjawan MBSJ bagi tahun 2023.

Hasil dari perbincangan tersebut, MBSJ akan merangka anggaran perancangan belanjawan bertemakan kepada ‘Bajet Inklusif Menjana Bandaraya Pintar dan Lestari’ bersesuaian dengan Pelan Strategik Subang Jaya 2020-2025 dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).