KKR siap siaga hadapi kemungkinan banjir besar

Fadillah ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian projek membina jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dari Permatang Pak Elong hingga Jambatan Merdeka Seberang Perai Utara, pada Ahad. - Foto Bernama
Fadillah ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian projek membina jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dari Permatang Pak Elong hingga Jambatan Merdeka Seberang Perai Utara, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KEPALA BATAS - Kementerian Kerja Raya (KKR) bersiap siaga bagi menghadapi bencana banjir susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan banjir besar akan melanda beberapa negeri Semenanjung menjelang November ini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, Bilik Gerakan Bencana (Bigben) KKR di ibu pejabat akan segera beroperasi disusuli daerah terlibat akan memantau perkembangan banjir dari semasa ke semasa.

"Di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan KKR, kita nak menjaga infrastruktur dan perhubungan jalan agar tidak terputus khususnya bila berlaku banjir besar kerana mahu memastikan ada laluan yang boleh dilalui pasukan penyelamat serta pasukan kecemasan untuk memberi bantuan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau ditemui selepas merasmikan projek pembinaan jalan dua lorong kepada empat lorong dari Permatang Pak Elong hingga ke Jambatan Merdeka, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Media melaporkan MetMalaysia meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, dengan risiko berlaku hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, KKR juga akan membuat pemantauan berterusan di jalan-jalan terkesan banjir dan menyalurkan maklumat terkini kepada pengguna jalan raya bagi memastikan mereka tidak menggunakan laluan terjejas banjir.

"Selain itu, kita akan pantau serta menyediakan bantuan termasuk kenderaan kepada pasukan penyelamat sama ada di peringkat daerah atau negeri,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: