JDT sasar menang 'treble' musim ini

Para pemain JDT bersorak kegembiraan setelah pasukan tersebut berjaya menjadi Juara Final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama.
Para pemain JDT bersorak kegembiraan setelah pasukan tersebut berjaya menjadi Juara Final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. - Foto Bernama.
A
A
A

SELEPAS cemerlang menjulang Piala FA 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini menyasarkan untuk menyapu bersih baki dua trofi yang dipertandingkan pada musim ini.

Dua trofi yang dimaksudkan ialah, Liga Super dan Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

Justeru beliau berharap anak buahnya tidak terlalu gembira dengan kejayaan ini dan bekerja lebih keras dalam memastikan pasukan Harimau Selatan berjaya memenangi kejayaan treble (tiga kejuaraan) pada musim ini.

“Sebelum saya datang ke JDT, saya sedar pasukan ini adalah ‘pemenang’, mereka sering melangkah ke final di Malaysia dan saya rasa bangga untuk membantu JDT memenangi Piala FA malam ini.

“Selepas ini kami menyasarkan untuk memenangi treble. Sekarang kami berada di persada Liga yang mana akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi dan lepas itu ada Piala Malaysia.

“Jadi saya berharap kesemua mereka dapat memberikan aksi yang terbaik bagi merealisasikan misi tersebut,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sebelum ini, JDT mengesahkan kejuaraan Piala FA kedua mereka selepas menewaskan Terengganu 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol pertama JDT disumbangkan pemain muda mereka Arif Aiman Hanapi manakala dua gol lagi menerusi tonggak import Bergson Da Silva dan gol sagu hati Terengganu menerusi Tchetche Kipre.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, jurulatih kelahiran Venezuela itu turut memuji persembahan yang ditampilkan Farizal Marlias pada perlawanan akhir itu.

Jelasnya, penjaga gol itu bukan sahaja berjaya menjaga gawang JDT dengan baik, malah pemain itu turut memainkan peranan penting dalam memberi motivasi kepada pasukan dalam bilik persalinan.

“Walaupun tidak diturunkan dalam dua perlawanan sebelum ini, tetapi Farizal berjaya menampilkan aksi yang terbaik.

“Saya sangat gembira dengan persembahan yang ditampilkannya. Apabila kami memilihnya untuk bermain, dia berjaya menunjukkan sebab kenapa dia harus dipilih selepas ini.

“Malah Farizal bukan sahaja seorang pemain yang hebat, tapi dia juga merupakan individu yang menakjubkan. Farizal bukan sahaja cemerlang di atas padang, dia juga banyak membantu dalam bilik persalinan,” ujarnya.