Usaha jadikan Beaufort pusat pelancongan akan diteruskan: TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melambaikan tangan kepada orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Festival Beaufort hari ini. -Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melambaikan tangan kepada orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Festival Beaufort hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BEAUFORT - Kerajaan hari ini memberi jaminan akan terus melaksanakan usaha menjadikan daerah ini sebagai pusat pelancongan terkenal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bagaimanapun usaha itu memerlukan kerjasama erat kerajaan persekutuan dan negeri.

"Daerah Beaufort mempunyai potensi yang amat besar dalam sektor pelancongan dan pertanian. Sekiranya masyarakat Beaufort mengambil peluang untuk memajukan daerah ini, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan ekonomi daerah ini, tetapi juga menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya semasa berucap merasmikan Festival Beaufort 2019, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata secara langsung, faedahnya akan dinikmati oleh Sabah amnya dan masyarakat Beaufort khasnya.

Mengenai festival itu yang bertemakan ‘Bersama Ke Arah Kemajuan’, beliau berkata objektif utama ialah memberi peluang kepada masyarakat khususnya petani dan peniaga serta pengeluar produk tempatan untuk memperkenalkan dan memasarkan produk mereka. Bagaimanapun katanya keunikan festival bukan sahaja pada hasil pertanian dan produk tempatan tetapi juga kebudayaan masyarakat Bagandang.

"Saya berharap festival ini boleh dijadikan platform kepada masyarakat daerah ini untuk berkumpul mengeratkan silaturahim serta semangat persefahaman dan persaudaraan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew serta Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusuf Yacob. -Bernama

Artikel Berkaitan: