POPIC 2022: Kejutan Daing pintas Adib sebagai peneraju

Daing (kiri) bersaing hebat dengan Adib pada Peringkat 4 POPIC 2022 di Pantai Cherating, Kuantan pada Sabtu. - Foto POPIC 2022
Daing (kiri) bersaing hebat dengan Adib pada Peringkat 4 POPIC 2022 di Pantai Cherating, Kuantan pada Sabtu. - Foto POPIC 2022
A
A
A

PENDAYUNG Terengganu, Daing Sulaiman Daing Suhaimi mencipta kejutan apabila menjuarai Peringkat 4 Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Cherating, Kuantan pada Sabtu.

Dalam perlumbaan kategori kebangsaan TK1 lelaki itu, Daing Sulaiman merekodkan masa 2 jam 11 minit 09.49 saat bagi meninggalkan pencabar terdekatnya dari Pahang, Mohd Adib Kamaruzrizan (2:14:02.75s) dan wakil PDRM, Freddy Anggang (2:14:25.05s).

Kejayaan mengungguli perlumbaan sejauh 20 kilometer itu sekali gus menyaksikan Daing Sulaiman muncul pendahulu baharu kategori TK1 lelaki apabila memintas Adib dengan perbezaan masa keseluruhan 45s.

"Syukur Alhamdulillah dengan kemenangan pada Peringkat 4 ini. Dalam tiga peringkat sebelum ini, saya sudah cuba yang terbaik bersaing dengan Adib merebut tempat pertama, tetapi dia lebih laju untuk kekal di depan.

"Hari ini (Sabtu), saya berpeluang mendahului Adib apabila dia melakukan sedikit kesilapan di Boya 1. Situasi itu membolehkan saya terus mendahului Adib dan barisan pencabar yang lain termasuk Freddy untuk berada di depan.

"Bagi perlumbaan terakhir esok (Ahad), saya akan cuba dengan strategi sama. Paling penting, saya kena pecut awal untuk menjarakkan diri dengan pendayung lain dan kekalkan tempo pada pertengahan sehingga tamat perlumbaan," katanya.

Adib yang menjuarai tiga peringkat sebelum ini bermula di Pantai Hiburan, Rompin; Pantai Lagenda, Pekan dan Pantai Balok, Kuantan pula mengakui dia melakukan kesilapan pada awal perlumbaan sehingga membuka peluang kepada Daing Sulaiman menjuarai Peringkat 4.

"Saya ada buat silap sikit sebab tidak begitu nampak Boya 1 dan akibatnya, Daing Sulaiman berada di depan. Kemudian saya cuba kejar Daing Sulaiman tetapi dia lebih laju untuk terus kekal di depan.

Artikel Berkaitan:

"Tahniah kepada Daing Sulaiman atas kejayaannya ini. Insya-ALLAH saya akan cuba sedaya upaya dengan kudrat yang ada untuk terus bersaing dengan Daing pada peringkat terakhir di Pantai Teluk Cempedak esok," ujarnya.