Piala Raja Thai guna sistem 'challenge'

Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai Edisi ke-36 bakal menjadi pertandingan terbesar dalam sejarah penganjurannya. - Foto fail Bernama
Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai Edisi ke-36 bakal menjadi pertandingan terbesar dalam sejarah penganjurannya. - Foto fail Bernama
A
A
A

KEJOHANAN Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai 2023 bermula Ahad hingga 16 Julai ini di Korat, Thailand bakal menampilkan beberapa perubahan dalam penggunaan sistem 'challenge'.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakaw Antarabangsa (ISTAF) berkata, kejohanan kali ke-36 itu disertai lebih 700 atlet dan pegawai dari 25 negara.

“Kali ini ISTAF melalui Jawatankuasa Teknikal akan memperkenalkan beberapa perubahan dalam penggunaan sistem challenge yang mana diyakini dapat membantu pengadil bertugas dan pasukan yang bertanding.

“Sempena kejohanan ini turut diadakan Refresher Course melibatkan lebih 40 pengadil Astaf dari 7 hingga 8 Julai dengan penekanan diberikan kepada tatacara penggunaan kamera badan dan undang-undang berkaitan challenge yang baru diperkenalkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Acara yang akan dipertandingkan pada kejohanan kali ini adalah berpasukan lelaki dan wanita Divisyen Premier, berpasukan lelaki Divisyen 1, regu lelaki Divisyen 1 dan Divisyen Premier.

Turut dipertandingkan ialah acara regu lelaki bawah 21 tahun yang melibatkan lapan negara, regu campuran, regu wanita Divisyen Premier dan Divisyen 1, quadran lelaki Divisyen Primier dan Divisyen 1, quadran wanita Divisyen Premier dan Divisyen 1 dan acara hoop lelaki dan wanita.

Abdul Halim berkata, kejohanan itu juga menjadi medan terbaik buat para pemain untuk mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam sukan tersebut.

Katanya, sambutan hangat itu membuktikan bahawa sukan tersebut telah berkembang ke seluruh dunia dan ia merupakan langkah terbaik untuk merealisasikan sepak takraw di pentas sukan Olimpik.

Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai Edisi ke-36 merupakan pertandingan terbesar dalam sejarah penganjurannya berdasarkan jumlah penyertaan atlet dan pegawai.

Malaysia turut menyertai kejohanan itu dengan mempertaruhkan barisan terkuat terdiri daripada Mohd Syahir Rosdi, Khairul Zaman, Azlan Alias, Farhan Adam, Muqhlis Borhan dan Khairul Azizi.

Dalam pada itu, Abdul Halim memberitahu ASTAF turut menjemput pegawai sepak takraw dari Arab Saudi untuk melihat dengan lebih dekat penganjuran kejohanan itu.

“Kejohanan itu memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari teknik dan kemahiran sukan tersebut dari negara-negara yang mengambil bahagian,” katanya.