Tiga individu direman kemuka tuntutan palsu

Tiga individu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.
Tiga individu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000 pada 2016.

Sumber berkata, perintah reman selama tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin telah dikeluarkan Majistret Nor Azean Mohd Sohaini selepas SPRM mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Shah Alam pada Sabtu.

"Ketiga-tiga suspek itu berusia antara 34 hingga 56 tahun ditangkap di pejabat SPRM Selangor pada Jumaat ketika hadir memberi keterangan," katanya.

Menurutnya, suspek yang ditahan itu adalah kontraktor, pemilik syarikat pembekal bahan binaan dan bekas pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Selangor.

"Kesemua mereka dipercayai mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM300,000 kepada PIBG sekolah salah seorang suspek bagi kerja pembinaan blok baharu di sekolah itu sedangkan kerja berkenaan tidak disempurnakan," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: