AKPK bantu selesai masalah hutang RM822.3j

Junainah memberi penerangan mengenai portal Rumahku kepada media.
Junainah memberi penerangan mengenai portal Rumahku kepada media.
A
A
A

KUALA NERUS - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia untuk meningkatkan tahap celik kewangan di kalangan masyarakat Malaysia.

Ditubuhkan April 2006, AKPK berjaya menyelesaikan masalah kewangan 20,412 peminjam melibatkan jumlah hutang RM822.3 juta sehingga 31 Februari lalu menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK).

PPK ialah program yang dilaksanakan AKPK bagi membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam melunaskan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup.

Sinar Harian berpeluang menemubual serta mengikuti perkongsian bersama Pengurus Cawangan AKPK, Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa sempena Karnival Kewangan, di sini, hari ini.

Menurutnya, AKPK menyediakan peluang kepada individu peminjam dan bakal peminjam mempertingkatkan disiplin kewangan melalui pendidikan kewangan, perkhidmatan, kaunseling, kewangan dan pengurusan kredit percuma.

"Melalui perkhidmatan tersebut AKPK berhasrat untuk membantu sektor isi rumah agar menjadi lebih kukuh serta sistem perbankan pula lebih cekap dengan cara memudahkan usaha pembayaran balik hutang.

"Malah, AKPK membantu mengurangkan berlakunya kegagalan pembayaran balik yang berpunca daripada pengurusan kredit yang lemah," katanya kepada media di TH Hotel & Convention Centre, hari ini.

Beliau berkata, AKPK menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan nasihat serta program pengurusan kredit.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, menerusi modul pendidikan kewangan AKPK ialah asas pengurusan kewangan dan pengurusan kredit secara bijak dalam kalangan peminjam agar dapat mengawal kewangan dengan baik.

"Melalui kaunseling kewangan dan nasihat pula kaunselor akan memberi khidmat nasihat mengenai bajet, pengurusan wang dan masalah pinjaman.

"AKPK juga membantu setiap pelanggan dalam menganalisa kedudukan kewangan mereka dan mengenalpasti pilihan yang ada dalam usaha membantu mereka kembali mengurus kewangan dengan betul.

"AKPK juga menawarkan nasihat bagi individu yang ingin mendapatkan panduan sebelum membuat sesuatu komitmen hutang yang besar," katanya.

Bagi program pengurusan kredit pula, katanya, individu menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman atau terbeban dengan bayaran bulanan tinggi boleh mendapatkan khidmat AKPK.

"Ia bagi menstrukturkan semula pinjaman berkaitan di bawah program pengurusan kredit (PPK), AKPK, sekiranya layak," katanya.

Menurutnya, AKPK juga tidak mengenakan sebarang bayaran ke atas perkhidmatan yang disediakan kepada individu dengan mempunyai 11 buah cawangan di seluruh negara.

"Cawangan AKPK ialah di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, Ipoh, Alor Setar, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

"Di samping itu, AKPK juga telah membuka pejabat kaunseling di 15 buah bandar di seluruh negara bagi memastikan masyarakat setempat beroleh manfaat dari perkhidmatan yang disediakan AKPK," katanya.

Dalam pada itu, portal Rumahku turut dilancarkan AKPK bagi membantu bakal peminjam untuk memahami dan mengurus kewangan mereka dengan berkesan menerusi penilaian kendiri yang mudah dan ringkas.

Pembeli rumah berpotensi yang ingin mendapatkan pinjaman perumahan di bawah skim pinjaman perumahan khas mampu milik BNM wajib mengikuti pembelajaran atas talian ini sebelum membuat pinjaman dengan institusi terpilih.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari: https://learn.akpk.org.my/courses/rumahku.