Kerja ubah suai kecil tidak perlu lantik PSP: Mahadi

Pemohon tidak perlu melantik ‘Principal Submitting Person’ (PSP) seperti arkitek atau jurutera bertauliah bagi kerja pengubahsuaian kecil. - Foto 123rf
Pemohon tidak perlu melantik ‘Principal Submitting Person’ (PSP) seperti arkitek atau jurutera bertauliah bagi kerja pengubahsuaian kecil. - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik, penyewa bangunan dan operator perniagaan yang memohon kerja pengubahsuaian kecil bagi kediaman, bangunan pejabat, rumah kedai serta lot runcit di kompleks beli-belah tidak perlu lagi memohon perakuan daripada perunding profesional bertauliah.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pemohon tidak perlu melantik ‘Principal Submitting Person’ (PSP) seperti arkitek atau jurutera bertauliah bagi kerja pengubahsuaian kecil seperti pemasangan pembahagi (partition) kecil atau binaan tambahan dalam bangunan yang tidak menjejaskan struktur asal.

"Bagi garis panduan permit kerja kecil seperti kediaman, rumah kedai dan pejabat, pemohon boleh menghantar borang permohonan dengan mengisi maklumat kerja kecil yang ingin dilakukan terus kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa melalui pengesahan PSP yang dilantik.

"Ia sangat memberi manfaat kepada pemohon kerana proses dapat diluluskan dengan segera dan mengurangkan kos bagi bayaran kepada PSP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Pembinaan Kawalan Bangunan DBKL, di sini pada Jumaat.

Selain itu, DBKL turut mengemas kini garis panduan melibatkan asrama sementara pekerja di tapak binaan, pagar perlindungan sementara di tapak pembinaan dan laporan berkaitan pemeriksaan tapak.

Mahadi berkata, kesemua garis panduan tersebut ditambah baik hasil input dan keterlibatan pemegang taruh seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, jurutera serta arkitek.

"Kita sudah ada garis panduan sebelum ini, tapi ia perlu sentiasa ditambah baik selari dengan peredaran masa kerana perubahan teknologi, kehendak manusia dan perubahan yang berlaku di seluruh dunia untuk kebaikan bersama,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: