Persiapan sambutan Hari Malaysia 2022 capai 40 peratus

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada 13 Ogos 2022.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada 13 Ogos 2022.
A
A
A

MELAKA - Persiapan sambutan Hari Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir di sini pada 16 September mencapai 40 peratus, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Zaidi Johari.

Beliau berkata, persiapan berkenaan termasuk pemasangan khemah penonton dan tetamu kehormat serta pentas persembahan.

"Setakat ini, persiapan sambutan Hari Malaysia 2022 berjalan lancar dan ia melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. Kita jangkakan raptai bagi sambutan berkenaan akan diadakan pada 13 September sebelum sambutan sebenar pada 16 September," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, dari aspek logistik lebih 2,000 petak pakir kenderaan disediakan berhampiran lokasi sambutan, antaranya di Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari dan Pahlawan Walk.

Katanya, Panorama Melaka juga akan menyediakan bas ulang-alik di kawasan tertentu bagi memudahkan pengunjung ke tapak sambutan dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik yang mungkin berlaku sebelum dan selepas sambutan berlangsung.

Zaidi berkata, setakat ini, tiada penutupan jalan akan dilakukan, namun pengunjung yang ingin menyertai sambutan dinasihatkan datang awal bagi mengelak kesesakan jalan raya dan menggunakan pengangkutan awam yang disediakan.

"Selain itu, pengunjung turut disaran memakai pelitup muka walaupun pemakaiannya di tempat awam atau terbuka telah diberikan kelonggaran oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas selesai majlis sambutan Hari Malaysia 2022 dan tetamu kehormat meninggalkan majlis, Konsert Rakyat akan diadakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, konsert selama sejam yang dijangka berlangsung sehingga 12 tengah malam itu melibatkan persembahan penyanyi terkenal tanah air antaranya Datuk M. Nasir, Ernie Zakri, Misha Omar dan Liza Hanim sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api. - Bernama