Busana era 60-an, etnik warnai sambutan Hari Malaysia 2022

Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika hadir mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2022 di Wisma Sri Negeri, pada Jumaat. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika hadir mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia 2022 di Wisma Sri Negeri, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Busana pakaian era 60-an dan etnik dipilih menjadi tema penyeri sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Banda Hililr di sini pada 16 September depan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, elemen tersebut dipilih bagi mengimbau nostalgia sewaktu penubuhan negara ini melibatkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).

"Lebih istimewa apabila sambutan kali ini diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, iaitu tapak bersejarah yang merupakan lokasi pengisytiharan kemerdekaaan negara sebelum ia disambut di Kuala Lumpur.

"Untuk itu, tetamu khas dan pengunjung digalakkan mengenakan busana tradisional dan etnik masing-masing terutama yang bersifat silam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mesyuarat jawatankuasa induk peringkat kebangsaan sambutan Hari Malaysia 2022 di Seri Negeri di sini, pada Jumaat.

Annuar berkata, buat julung kalinya sambutan Hari Malaysia diadakan di tempat terbuka selepas pandemik Covid-19 kerana sebelum ini, ia berlangsung di tempat tertutup.

"Untuk props (hiasan) kita serahkan kepada penganjur negeri dan sudah pasti akan memaparkan ikon-ikon utama Melaka tanpa meminggirkan ciri-ciri keterlibatan negeri-negeri lain.

"Saya percaya kehadiran tetamu terhormat yang dijangka seramai 2,000 orang termasuk Perdana Menteri, Primier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah yang akan tiba dengan perarakan beca, iaitu ikon Bandaraya Melaka, bakal menyerikan malam sambutan,” katanya sambil menjangkakan puluhan ribu pengunjung akan hadir.

Menurut beliau, beberapa acara akan dilangsungkan secara adat tradisional termasuk sesi ketibaan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan acara simbolik menandatangani buku peringatan pengisytiharan Hari Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: