Tiada lumba haram berskala besar di Pulau Pinang: Polis

Laporan Sinar Harian 17 Julai lalu. (Gambar kanan: Mohd Shuhaily)
Laporan Sinar Harian 17 Julai lalu. (Gambar kanan: Mohd Shuhaily)
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang mengesahkan tiada kegiatan lumba haram berskala besar dikesan di negeri ini sejak kemalangan ngeri di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang meragut lima nyawa Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sepanjang operasi dan pemantauan yang dijalankan, hanya terdapat beberapa kes kecil iaitu melibatkan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan mereka telah ditahan.

Menurutnya, polis akan terus bertindak tegas dan tidak akan berkompromi dengan mat rempit yang didapati terlibat dengan lumba haram bagi mengekang kegiatan terbabit.

"Sejak kemalangan melibatkan kehilangan lima nyawa pada Julai lalu, polis dan beberapa agensi berkaitan sentiasa memantau dan menjalankan operasi untuk mengekang aktiviti lumba haram di negeri ini.

"Setakat hari ini, kita tidak menerima sebarang maklumat berlakunya perlumbaan haram berskala besar namun ada dua tiga kes melibatkan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya seperti aksi Superman dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat.

Tambahnya, polis tidak akan berkompromi untuk menahan reman mereka yang ditahan kerana terlibat dalam perlumbaan haram atau menunggang motosikal secara berbahaya.

"Tindakan ini bukan kejam sebaliknya lebih kepada memberi kesedaran untuk orang awam agar tidak terlibat dengan kegiatan lumba haram ini.

"Tujuan kami adalah untuk mengelak anak muda terlibat dengan gejala tidak sihat ini kerana ia bukan sahaja membahayakan mereka sendiri malah membahayakan pengguna jalan raya lain. Masalah lumba haram ini bukan baharu, ia sudah lebih 40 tahun dan kita sedang berusaha untuk mengurangkannya," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, dalam kejadian awal pagi 17 Julai lalu, lima maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, satu mesyuarat akan diadakan melibatkan pelbagai agensi berkaitan untuk membincangkan langkah dalam menangani mat rempit.

"Kita akan merangka strategi dalam mesyuarat khas itu nanti, mungkin akan diadakan pada minggu depan atau dua minggu lagi untuk membincangkan langkah menangani isu ini. Mesyuarat bersepadu itu akan melibatkan pelbagai agensi berkaitan.

"Mesyuarat ini susulan Pulau Pinang yang akan dijadikan model untuk projek perintis iaitu dengan menggunakan strategi baharu dalam menangani isu mat rempit dan lumba haram seperti yang dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak pada Ogos lalu," ujarnya.

Sebelum ini, pihak berkuasa akan menggunakan strategi baharu dalam menangani isu mat rempit dan lumba haram iaitu dengan merakam wajah pelaku yang terlibat sebelum menahan mereka untuk tindakan lanjut.

Pendekatan atau model baharu itu diharap akan berjaya di Pulau Pinang sekali gus dapat diaplikasikan di negeri-negeri lain dalam usaha membanteras kegiatan terbabit.