PRU15: Pengundi baharu cenderung pilih BN

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) yakin kecenderungan pengundi baharu termasuk pengundi berusia 18 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang menjurus kepada parti itu susulan kejayaan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berpandangan, trend sokongan golongan berkenaan terhadap BN kerana menyakini gabungan itu mampu memberi kestabilan kepada negara.

"Perkara ini diakui oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Sesi Libat Urus bersama Bahagian UMNO Pahang minggu lalu yang menyatakan kecenderungan pengundi baharu dan Undi18 untuk memilih UMNO dan BN kerana mahukan kerajaan yang stabil.

"Kestabilan ini dapat dizahirkan apabila Johor dan Melaka yang dahulunya dari segi kehadiran pelabur sangat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain, (namun) sekarang ini Johor menjadi nombor satu dan Melaka dari nombor sembilan naik ke lima.

"Jadi ini membuktikan pengundi mahukan kerajaan yang kukuh dan stabil kerana hanya perkara ini yang dapat menjamin pengurusan negeri atau negara terus maju ke hadapan,” katanya menerusi sebuah rakaman video yang disiarkan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar berkata, keputusan BN untuk bergerak secara solo pada PRU15 amat bertepatan ekoran pemahaman dan idealisme antara parti komponen yang sama akan memudahkan pentadbiran negara.

"Rakyat mahukan sebuah parti yang mempunyai kestabilan dan perpaduan. Tidak guna ada parti yang menang, tetapi mempunyai idealisme ataupun cara berfikir yang berbeza-beza (kerana) akan sukar untuk mentadbir negara.

"Seperti BN, kita pergi solo kerana sudah bersama sejak sebelum Merdeka lagi di PRU pertama sehingga sekarang. Kita memahami antara satu sama lain (dan) kemungkinan soal individu adalah masalah lain (tetapi) parti adalah perkara yang paling penting,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang turut menaruh harapan agar rakyat dapat menilai kerajaan yang pernah mentadbir negara selepas PRU14 lalu, sekali gus membuat pilihan untuk menentukan parti yang terbaik bagi mentadbir negara pada masa akan datang.

“Semua parti pernah mentadbir negara, jadi rakyat boleh menentukan parti mana yang mempunyai kebijaksanaan, kecekapan dan tahu bagaimana untuk mentadbir negara.

“Mentadbir parti mungkin semua orang boleh buat sebab 'geng' kita tetapi mentadbir negara mesti mempunyai sensitiviti serta ketulusan selain mengamalkan sikap keadilan kepada semua kaum yang ada. Saya rasa pengundi sekarang bijak dan mereka tahu untuk memilih yang terbaik," katanya.