Penyertaan Muda dalam PH perlu dibuat Majlis Presiden

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KOTA KINABALU - Segala keputusan mengenai hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) perlu dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden.

Perkara itu disuarakan Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin yang menyifatkan segala rundingan dilakukan 'di belakang' dilihat sebagai tindakan biadab.

"Saya mengambil maklum kenyataan daripada Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan keinginan parti itu menyertai PH.

"Kenyataan beliau juga disambut beberapa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Beliau berkata, Majlis Presiden perlu mengambil keputusan bijak dan tidak 'memikul' pihak yang hanya akan menjadi liabiliti kepada PH.

"Ambil iktibar situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta beberapa kenyataan angkuh daripada pemimpin Muda. Kita telah membuka ruang kerjasama serta memberi tapak kepada Muda pada PRN Johor yang lalu, namun apa yang dilakukan Muda sangat biadab pada ketika itu.

"Bermula dengan menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Tiram dari PKR pada ketika itu sebagai tidak amanah. Kemudian laman media sosial Muda Johor memuat naik poster 'Hentikan Korupsi' dengan memaparkan logo PKR dan PH seolah-olah dua entiti ini memberi dan menerima rasuah.

"Malah dalam keadaan PKR dihina, parti ini masih memberi tiga kerusi kepada Muda untuk ditandingi, namun ditolak oleh parti itu dan melanggar kerusi DUN Larkin yang ditandingi PKR, " katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan lebih baik kerjasama itu dijalin di luar PH dan menegaskan tidak mahu sejarah berulang terutama melibatkan pertindihan kerusi sebagaimana dalam PRN Johor.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan kenyataan Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien yang masih mengharap kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) ketika Muda merayu untuk bersama PH.

Artikel Berkaitan:

"PH merupakan pakatan yang bermaruah. Saya tidak rasa PH akan menjalinkan kerjasama dengan Warisan yang jelas telah mengisytiharkan perang terhadap PH.

"Malah keputusan Warisan memutuskan hubungan dengan PH diumum dalam Mesyuarat Agung Tahunan Warisan baru-baru ini.

"Muda perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang. Malah status Muda dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sehingga hari ini masih belum ada noktah daripada Muda," katanya.

Sebelum itu, pada Selasa lalu Muda sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.