Kompleks Maahad Tahfiz Al-Quran perlu sumbangan

Kompleks Maahad Tahfiz al-Quran Lembah Pergau di Jeli masih memerlukan sumbangan bagi menyiapkan pembangunan fasa satu kompleks yang menelan belanja RM3 juta. (Gambar kecil: Kameruzaman)
Kompleks Maahad Tahfiz al-Quran Lembah Pergau di Jeli masih memerlukan sumbangan bagi menyiapkan pembangunan fasa satu kompleks yang menelan belanja RM3 juta. (Gambar kecil: Kameruzaman)
A
A
A

JELI - Kompleks Maahad Tahfiz Al-Quran Lembah Pergau, di sini masih memerlukan sumbangan orang ramai bagi menyiapkan pembangunan fasa satu kompleks tersebut yang menelan belanja RM3 juta.

Pengerusinya, Kameruzaman Ab Rahman berkata, dana tersebut akan digunakan untuk pembinaan masjid, kelas dan asrama di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) seluas 2.4 hektar.

"Pembinaan kompleks ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut jumlah kewangan semasa.

"Disebabkan itu, Maahad Tahfiz Al-Quran Lembah Pergau memperkenalkan sistem wakaf bagi memudahkan orang ramai menyumbang serta merebut peluang untuk bersedekah," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, orang ramai boleh berwakaf dengan nilaian RM100 untuk satu lot bagi melahirkan lebih ramai generasi tahfiz dan pencinta kitab suci pada masa hadapan.

Jelasnya, kompleks tersebut dijangka memuatkan 200 orang pelajar tahfiz, 50 pelajar pondok dan kemudahan lain seperti pondok untuk orang dewasa, rumah tamu dan banyak lagi.

Ujarnya, generasi pewaris al-Quran perlu terus dilahirkan bagi memastikan lebih ramai masyarakat akan mendapat manfaat terutama dalam memperbetulkan lagi cara bacaan kitab suci itu.

"Orang ramai boleh menyumbang kepada tabung Kompleks Maahad Tahfiz al-Quran Lembah Pergau di akaun Maybank 553056414773 atau boleh menghubungi talian 014-5305331," katanya.

Artikel Berkaitan: