Rakyat bakal terbeban kenaikan OPR

Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik lagi sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik lagi sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.
A
A
A

BULAN September menyaksikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik lagi sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Ia adalah kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelum ini.

Kenaikan itu sedikit sebanyak bakal memberikan kesan kepada rakyat apabila kadar pinjaman terutama pinjaman perumahan dan kenderaan akan turut meningkat bergantung kepada jumlah yang dipinjam.

Malah, penyewa juga akan turut terkena tempias apabila pemilik rumah sudah tentu terpaksa menaikkan harga sewa rumah apabila bank mula menyelaraskan kadar pinjaman selepas OPR dinaikkan.

Bukan itu sahaja, kenaikan OPR ini juga akan memberikan kesan berantai apabila pakar ekonomi menjangkakan harga barang, makanan dan perkhidmatan akan naik sekali gus memberikan kesan kepada ekonomi rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Faisol Ibrahim percaya peniaga dan pembekal yang terkesan dengan peningkatan OPR akan menaikkan harga barang dengan alasan terpaksa menanggung kos mahal sebagai contoh produk yang diusahakan industri kecil dan sederhana (IKS), selain harga ayam turut dinaikkan dengan alasan kos dedak meningkat.

"Mengapa harga dedak itu naik? Ia disebabkan pembekal yang berdepan kenaikan kadar faedah pinjaman bertindak menaikkan harga yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna yang terpaksa membeli barangan dengan harga jauh lebih mahal," katanya.

Dalam keadaan rakyat sedang cuba kembali pulih daripada masalah ekonomi impak Covid-19 baru-baru ini selain berdepan dengan beberapa siri kenaikan harga barang, langkah menaikkan OPR dilihat sebagai kurang wajar.

Artikel Berkaitan:

Pada ketika Covid-19 juga ada golongan T20 yang sudah menjadi M40 dan ada juga yang M40 sudah jadi B40 sedangkan mereka juga mempunyai pinjaman kenderaan dan rumah yang perlu dibayar.

Kerajaan perlu meneliti tahap ekonomi rakyat dengan tidak semua daripada mereka mendapat pendapatan mencukupi yang membolehkan mereka membayar lebih pinjaman sedia ada ekoran kenaikkan OPR.

Mungkin kerajaan boleh membuat tingkat kenaikan OPR tersebut bergantung kepada tahap ekonomi rakyat dengan golongan T20 dikenakan OPR lebih tinggi disusuli M40 dan B40.