Polis kesan pemandu pacuan empat roda

Rakaman CCTV menunjukkan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal di Jalan Kampung Batu 9 pada Mei lalu.
Rakaman CCTV menunjukkan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal di Jalan Kampung Batu 9 pada Mei lalu.
A
A
A

KLANG - Polis sedang mengesan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan Kampung Batu 9 pada Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 9 Mei lalu.

Menurutnya, kejadian berkenaan berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.

"Siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda tersebut melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan kemudiannya pemandu pacuan empat roda tersebut melarikan diri sejurus selepas kejadian.

"Rakaman menunjukkan pemandu kenderaan pacuan empat roda memasuki laluan motosikal mangsa dan melanggar mangsa dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Vijaya Rao berkata, mangsa berumur 54 tahun yang mengalami kecederaan parah itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2 Jun selepas mendapatkan rawatan," katanya.

Katanya, usaha mengesan individu terlibat dalam kejadian masih dijalankan sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kini pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak tampil untuk membuat laporan polis.

"Rakaman CCTV turut tidak dapat mengesan dengan jelas nombor pendaftaran pacuan empat roda tersebut," katanya.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Surihan Samsudin di talian 0132082327 atau mana-mana balai polis berhampiran.