Mahkamah tolak rayuan kerajaan ketepi saman Indira Gandhi

Indira Gandhi - Foto Bernama
Indira Gandhi - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu menolak rayuan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga yang lain untuk membatalkan saman nonfeasans yang difailkan terhadap mereka oleh seorang guru tadika berhubung dakwaan gagal menangkap bekas suaminya dan mengembalikan anak perempuannya yang dilarikan lelaki itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk M Gunalan dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan saman yang difailkan oleh M Indira Gandhi itu perlu melalui perbicaraan.

Selain KPN, wanita itu turut menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan sebagai defendan.

"Kami berpendapat berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, terdapat isu undang-undang yang kompleks termasuk isu tafsiran Seksyen 7 (2) Akta Prosiding Kerajaan, Seksyen 20 Akta Polis dan juga mengenai kedudukan Common Law mengenai tort nonfeasans oleh pegawai awam," katanya.

Beliau berkata, dakwaan Indira Gandhi bukanlah kes yang jelas tidak mampan untuk mewajarkannya dibatalkan.

Hakim itu berkata, tiada kesilapan Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk menolak permohonan membatalkan yang dikemukakan oleh KPN dan tiga yang lain, sambil menambah bahawa tiada merit dalam rayuan kerajaan.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada Indira Gandhi dan menetapkan 14 September untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

Pada 16 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman guru tadika itu yang mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa yang kini berusia 13 tahun.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa KPN, KDN dan kerajaan juga berperanan membuat keputusan atau memberikan arahan kepada PDRM bagi melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelumnya dikenali sebagai K Pathmanathan, seperti diarah oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April, 2016.

Justeru, beliau menutut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah selain memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan ‘tort nonfeasance’ di pejabat awam dan KDN dan kerajaan, ketiga dan keempat bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan KPN.

Prasana Diksa dilarikan Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

Pada 2009, Muhammad Riduan mengislamkan tiga anak mereka tanpa persetujuan Indira Gandhi sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak itu, namun pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama satu pihak ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi pada 2010.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula Prasana Diksa untuk dikembalikan kepada Indira Gandhi.

Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya A. Dadi mewakili kerajaan dalam rayuan hari ini yang dijalankan secara dalam talian manakala pasukan peguam yang diketuai oleh Rajesh Nagarajan mewakili Indira Gandhi. - Bernama