RM562,497.80 diperlukan untuk myWakaf Terengganu

Amiruddin (kiri) menyampaikan sumbangan BRKongsi Kasih kepada bendahari UMT, Zahara Kedri berjumlah RM15,000 untuk diagihkan kepada mahasiswa universiti itu yang kurang berkemampuan.
Amiruddin (kiri) menyampaikan sumbangan BRKongsi Kasih kepada bendahari UMT, Zahara Kedri berjumlah RM15,000 untuk diagihkan kepada mahasiswa universiti itu yang kurang berkemampuan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bank Rakyat memerlukan sebanyak RM562,497.80 bagi mencapai sasaran kutipan keseluruhan RM750,000 bagi projek myWakaf Terengganu yang menawarkan rawatan hemodialisis kepada golongan asnaf.

Ketua Pegawai Operasi (Perniagaan) Bank Rakyat, Datuk Amiruddin Abdul Halim berkata, sehingga April 2019, kutipan dana wakaf mencecah RM187,502.20 sejak ia dimeterai pada 24 Oktober 2018.

“Projek ini adalah kolaboratif antara Bank Rakyat dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Inisiatif ini juga sebahagian daripada projek myWakaf yang diterajui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dengan usaha sama enam institusi perbankan Islam di negara ini,” katanya kepada media sempena Karnival Kewangan Terengganu 2019, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak, Pengarah Eksekutif AIBIM, Ratna Sha’erah Kamaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M.Rozi Bidin.

Amiruddin berkata, selain jalinan kerjasama bersama Maidam, Bank Rakyat juga sedang berusaha membangunkan Program Integriti Kewangan (PINK) bersama Jabatan Agama Islam Sarawak.

Amiruddin (dua, kiri) bersama Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak (kiri) melihat kaedah mudah berwakaf bersama Bank Rakyat sempena Karnival Kewangan Terengganu 2019, di sini, semalam.
Amiruddin (dua, kiri) bersama Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak (kiri) melihat kaedah mudah berwakaf bersama Bank Rakyat sempena Karnival Kewangan Terengganu 2019, di sini, semalam.

“Inisiatif ini tercetus apabila Bank Rakyat membantu majlis agama Islam dalam pembangunan sosio ekonomi ummah.

Artikel Berkaitan:

“Objektif utama projek wakaf begini ialah bagi menyediakan medium kutipan dana wakaf melalui saluran perbankan yang inovatif dan efektif,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan dana bagi projek myWakaf Maidam boleh mengunjungi tapak pameran bank di karnival kewangan Terengganu sehingga 6 April 2019 atau melalui saluran pembayaran JomPAY (biller code:20461) serta melalui akaun Bank Rakyat (110-11-2012-381).

Dalam pada itu, Amiruddin turut menyampaikan sumbangan BRKongsi Kasih berjumlah RM15,000 kepada mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang tidak berkemampuan.

Sumbangan oleh jemaah solat Jumaat di Surau Al-Barakah, warga kerja dan zakat Bank Rakyat itu diserahkan kepada bendahari UMT, Zahara Kedri.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, Bank Rakyat turut memberi sumbangan kepada mahasiswa Universiti Malaya (UM) sebanyak RM25,000 pada 2 April lalu serta sumbangan RM30,000 kepada Tabung Pelajar Miskin Universiti Kolej Bestari, Setiu pada 28 Mac 2019.

“Sumbangan ini bagi membantu mahasiswa menghadapi kekangan kewangan bagi menampung perbelanjaan sepanjang pengajian,” katanya.