LHDN yakin capai sasaran cukai langsung lebih RM139.3 bilion

Mohd Nizom (kanan) menanam pokok bakau sebagai simbolik pada Program Penanaman Pokok Bakau KDEBWM, LHDN dan Jabatan Perhutanan Selangor di Hutan Simpan Kuala Bernam, Teluk Rhu Sungai Apong di sini pada Rabu.
Mohd Nizom (kanan) menanam pokok bakau sebagai simbolik pada Program Penanaman Pokok Bakau KDEBWM, LHDN dan Jabatan Perhutanan Selangor di Hutan Simpan Kuala Bernam, Teluk Rhu Sungai Apong di sini pada Rabu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai langsung melebihi RM139.3 bilion pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, sasaran itu ditetapkan selari dengan sasaran yang digariskan dalam Bajet 2022.

Menurut beliau, LHDN optimis jangkaan itu mampu dicapai selaras dengan perkembangan ekonomi semasa berkembang baik selepas pandemik Covid-19.

"Malah kita yakin ia boleh melebihi apa yang disasarkan berikutan trend ekonomi positif dan lebih baik daripada tahun sebelumnya," katanya pada sidang akhbar selepas Program Penanaman Pokok Bakau KDEB Waste Management (KDEBWM), LHDN dan Jabatan Perhutanan Selangor di Hutan Simpan Kuala Bernam, Teluk Rhu Sungai Apong di sini pada Rabu.

Dalam pada itu Mohd Nizom berkata, LHDN sedang meneliti ketirisan cukai berhubung syarikat yang menjalankan penyelewengan subsidi minyak masak.

Beliau memberitahu, pihaknya menggerakkan usaha bagi mengesan syarikat terbabit yang masih tidak membuat laporan pendapatan.

"Kita ada membuat pengesanan awal dan ada terima laporan terdapat syarikat menjual subsidi minyak masak tidak melaporkan pendapatan sebenar," katanya.

Ujar beliau, perkara itu mendapat kerjasama baik dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Artikel Berkaitan:

"Tugas LHDN adalah untuk melihat dari segi ketirisan cukai tidak berbayar dan manakala KPDNHEP pula dari sudut penyelewengan subsidi," jelasnya.

Ditanya mengenai kesedaran individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain berhubung pematuhan laporan pendapatan, Mohd Nizom menjelaskan ia meningkat dan berada pada tahap baik.

Beliau memberitahu, LHDN sedang membuat penyelidikan bagi mendapatkan anggaran dan peratusan sebenar mengenai pematuhan laporan pendapatan pada masa akan datang.

"Kita tiada peratusan sebenar kerana ia masih lagi dalam penyelidikan namun kita jangka ia meningkat lebih baik," katanya.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa berkata, kerajaan menjangkakan kutipan hasil cukai akan kembali kepada paras sebelum pandemik Covid-19, sama ada memenuhi atau melebihi sasaran kutipan cukai berjumlah RM139 bilion tahun ini.

Ismail Sabri berkata, bagi menyokong hasrat ini, LHDN melalui pengurusannya perlu merangka pelbagai strategi jangka pendek dan sederhana untuk mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan, dan dalam masa yang sama mengekalkan prestasi yang baik pada masa hadapan