Pas perlu lakukan solat istikharah pilih rakan gabungan

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

KUANTAN - Barisan kepimpinan dan ahli Pas perlu melakukan solat sunat istikharah beramai-ramai bagi memilih antara gabungan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, parti Islam itu juga tidak boleh terus bermain dua kolam kerana UMNO sudah membuat keputusan yang jelas bahawa tiada sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, keputusan dasar parti itu dibuat pada peringkat tertinggi parti dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan ia perlu dihormati oleh Pas jika mahu terus bekerjasama dengan UMNO di bawah gagasan MN.

"Pas telah pun berkahwin dengan Bersatu di bawah PN dan kini mahu berpoligami pula dengan UMNO, apa sebenarnya pendirian Pas? Pilih PN ataupun MN pada PRU15?

"Jadi, segerakan solat sunat istikharah dan pilih antara MN atau PN. Janganlah Pas mahu terus bermain dua kolam demi memastikan kerusi dimenanginya PRU14 lalu selamat pada PRU15 akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Sharkar menambah, Bersatu juga enggan bekerjasama dengan UMNO kerana apa diinginkan parti itu adalah 'khemah besar' yang melibatkan semua parti termasuk PH.

Jelasnya, bagaimanapun segala keputusan terserah kepada kepimpinan Pas.

"Tepuk dada tanya selera. BN dan UMNO kekal konsisten dengan keputusan yang dibuat dan telah pun bersiap sedia bergerak solo bagi menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Jika Pas benar-benar ikhlas mahu bekerjasama dalam gagasan MN yang boleh dikatakan telah pun bercerai, segera pilih antara MN atau PN dan bersediakah Pas menggunakan logo BN pada PRU15?," soal beliau.

Mohd Sharkar mahu parti Pas menghormati kepimpinan UMNO yang telah dipilih ahli akar umbi UMNO jika mahu meneruskan kerjasama.