Hanya pandangan individu, bukan suara rasmi parti

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA NERANG - Desas-desus yang mengatakan Perikatan Nasional (PN) akan menarik sokongan terhadap kerajaan pusat hanyalah pandangan individu, bukannya mewakili mana-mana parti gabungan itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia berbeza sekiranya kenyataan terbabit dikeluarkan oleh organisasi parti secara rasmi.

Malah menurutnya, perkara terbabit tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana perjumpaan UMNO mahupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setakat ini.

“Macam Perdana Menteri katalah, kenyataan itu datang daripada individu. Saya rasa tak payah komen banyak sebab bukan datang daripada organisasi parti.

“Semua kenyataan-kenyataan itu daripada individu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Komuniti Sejahtera Bukit Tembaga di Felda Bukit Tembaga di sini pada Ahad.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kenyataan rasmi dari mana-mana parti yang bernaung di bawah PN, perkara itu kemungkinan boleh dipertimbangkan untuk dibincangkan oleh pimpinan tertinggi UMNO.

“Kita (UMNO) tak ada bincang. Kalau kenyataan itu datang daripada parti Pas kah, adalah kenyataan balas. Setakat individu macam itu tak boleh,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata, setakat ini kerajaan sedia ada akan meneruskan khidmat untuk rakyat seperti biasa di sebalik desas-desus berkenaan.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan pimpinannya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengadakan PRU15 lebih awal, sekiranya PN berhasrat menarik sokongan dalam kerajaan.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, mana-mana parti bebas membuat keputusan sendiri, namun mereka perlu menanggung kesan daripada keputusan itu termasuk tidak menyokong kerajaan.

Ia susulan desas-desus bahawa PN bercadang untuk menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri selepas kecewa mesyuarat yang sepatutnya diadakan pada Khamis antara Ismail Sabri dan PN, diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibatalkan pada saat akhir.

Parti komponen PN dianggotai oleh Bersatu, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Sebelum ini, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan Ismail Sabri supaya tidak lupa dengan kekuatan PN selain perlu menghormati sokongan diberikan gabungan itu yang membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri.

Peringatan itu disuarakan susulan beberapa tindakan Naib Presiden UMNO yang dilihat seperti membelakangi PN.