Warga emas maut rumah terbakar

Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal. - Foto Ihsan Bomba
Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A
SEGAMAT - Seorang warga emas meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Taman Bukit Permata, Bukit Siput di sini pada Rabu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.18 pagi.

"Susulan itu 17 anggota dengan masing-masing sebuah satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berkeluasan kira-kira 4 x 7 meter. Kebakaran berlaku di tingkat atas dan telah mengakibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keseluruhan rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, terdapat seorang mangsa, Mustaffar Batin yang berusia 61 tahun ditemui di bilik tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan cedera melecur 20 peratus.
Artikel Berkaitan:


Jelasnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.

Menurut Mazuki, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada jam 7.34 pagi.