Nama besar sukan kanu dunia berentap di POPIC 2022

Emir
Emir
A
A
A

KEJOHANAN kanu antarabangsa - Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) yang menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan berjumlah RM300,000 bakal membuka tirainya secara rasmi di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang pada Rabu.

Sebanyak 180 peserta termasuk dari dalam dan luar negara seperti New Zealand, Australia, Kanada, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Iran, Taiwan, Thailand, Indonesia selain tuan rumah, Malaysia mengambil bahagian pada kejohanan kali ini membabitkan laluan keseluruhan sejauh 79.36 kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif Stagemaker Sdn Bhd yang juga penganjur POPIC 2022, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran beberapa nama besar dalam sukan kanu termasuk lima bekas juara dunia mampu menghangatkan lagi kejohanan itu yang julung-julung kali diadakan di Pahang sehingga Ahad ini.

"Daripada senarai peserta yang bertanding, saya berasa bangga dan berbesar hati kerana kejohanan ini menampilkan beberapa jagoan dunia apabila ada dalam kalangan mereka merupakan bekas juara dunia, sekali gus menjadikan POPIC 2022 mula berada di peta antarabangsa dalam sukan kanu ini.

"Ini juga menjadikan POPIC satu kejohanan yang unik dan berkualiti kerana dapat menghimpunkan nama-nama besar yang juga bekas juara dunia seperti Mackenzie Hynard, Daniele Mackenzie, Dawid Mocke, Rob Jenkinson dan Julie Jenkinson," katanya dalam sidang media di Rompin Beach Resort pada Selasa.

Untuk rekod, Mocke yang merupakan bekas juara dunia empat tahun berturut-turut bermula edisi 2009 hingga 2012 dijangka mendapat saingan sengit daripada dua wakil Australia - Rob, bekas juara dunia dua kali dan Hynard yang muncul naib juara dunia kategori Bawah 23 tahun pada 2017.

Dalam saingan wanita pula tumpuan lebih terarah kepada Mackenzie, pendayung dari New Zealand yang menjuarai Kejohanan Dunia pada 2019 di Perancis selain Julie, bekas juara dunia empat kali dari Australia.

Dalam pada itu, Emir berkata, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu Antarabangsa Lelaki dan Wanita; Kebangsaan (lelaki); Kebangsaan Tandem (lelaki dan wanita) serta Inter Varsiti (lelaki dan wanita).

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu setiap kategori menjanjikan persaingan sengit setiap peserta yang bertanding. Tetapi pada masa sama, kita juga berharap wakil negara dapat memberikan saingan kepada peserta dari luar negara," ujarnya.

POPIC 2022 merangkumi lima peringkat bermula Peringkat 1 di Pantai Hiburan, Rompin diikuti Peringkat 2 di Pantai Lagenda; Pekan (Khamis); Peringkat 3 di Pantai Balok, Kuantan (Jumaat); Peringkat 4 di Pantai Cherating, Kuantan (Sabtu) dan Peringkat 5 di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan (Ahad).