Melaka sedia tarik pelancong Selatan India

Muhammad Jailani (kanan) melawat reruai pada Festival Pengantin di Pringgit, Melaka pada Selasa.
Muhammad Jailani (kanan) melawat reruai pada Festival Pengantin di Pringgit, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Melaka akan memberi tumpuan untuk menarik pelancong luar negara terutama dari Selatan India dalam merancakkan sektor pelancongan negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh kebanyakan penduduk di kawasan Selatan India terdiri dalam kalangan golongan pertengahan dan yakin mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya telah berunding dengan beberapa syarikat penerbangan dari negara tersebut dalam usaha mewujudkan penerbangan terus ke Melaka.

Katanya, perbincangan mengenai rancangan tersebut sedang berjalan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan India.

"Sasaran kita ialah Selatan India terdiri daripada Kochi yang terletak di Kerala, Tamil Nadu dan beberapa negeri yang lain.

"Difahamkan Selatan India mempunyai potensi 600 juta penduduk dengan 60 peratus daripadanya adalah golongan pertengahan," kata beliau selepas menyempurnakan Festival Pengantin di Pringgit di sini pada Selasa.

Tambah beliau, sekiranya berjaya dilaksanakan ia mampu menarik sekurang-kurangnya 60,000 pelancong dari kawasan itu setiap tahun ke Melaka.

Ujar beliau, dengan kemasukan lebih ramai pelancong dari kawasan berkenaan tidak mustahil untuk Melaka mencapai sasaran 6.5 juta pelancong pada tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga yakin Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) dapat menampung kedatangan pelancong dari Selatan India," kata beliau.

Jelas beliau, sektor pelancongan Melaka juga semakin pulih dan dijangka pulih sepenuhnya hujung tahun ini.