Penculik kucing minta wang tebusan RM6,000

Tangkap layar poster kehilangan kucing oleh pemilik.
Tangkap layar poster kehilangan kucing oleh pemilik.
A
A
A

SHAH ALAM – Malang menimpa seorang lelaki apabila bukan hanya kehilangan seekor kucing kerana diculik, tetapi turut diugut agar menyediakan wang tebusan jika mahukan haiwannya itu selamat.

Menerusi perkongsian di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, kucing itu dilaporkan hilang jam 11 pagi pada 1 September lalu di sebuah kawasan di Taman Kwan Ming, Kuching, Sarawak.

Menurut pengadu, dia kemudiannya menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 September daripada seorang individu yang mengaku menculik kucingnya dengan menyertakan gambar dan video kucing miliknya.

Jelasnya, penculik juga menuntut wang tebusan berjumlah RM6,000 dibayar sebelum jam 6 petang dan akan memaklumkan alamat untuk menuntut kucing itu pada waktu malam selepas dia membayarnya.

“Penculik mengugut pemilik untuk melemparkan kucing ke dalam sungai berdekatan jika pemilik gagal membuat bayaran wang tebusan.

“Penculik juga telah memberi amaran kepada pemilik supaya hadir membawa wang yang diminta seorang diri dan tidak membuat tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penculik,” kata hantaran Persatuan Haiwan Malaysia pada Isnin.

Susulan kejadian terbabit, Persatuan Haiwan Malaysia menyatakan, pemilik kucing berkenaan telah membuat satu laporan polis sehari selepas ugutan diterima di Balai Polis Sekama, Kuching.

“Pemilik juga telah ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Icom Square, Kuching, Sarawak untuk mendapatkan jejak nombor telefon penculik yang dikatakan sukar dikesan oleh pegawai penyiasat,” tulis persatuan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, kes itu merupakan jenayah penculikan melibatkan kucing dan tebusan ribuan ringgit yang pertama di Malaysia.

“Animal Malaysia melahirkan rasa bimbang jika jenayah penculikan haiwan bakal berleluasa jika tiada tindakan tegas diambil pihak berkuasa.

“Animal Malaysia merayu supaya PDRM Sarawak memandang serius kes ini dan mengambil tindakan segera supaya tertangkapnya penculik kucing yang mengugut melemparkan kucing ke dalam sungai bahaya di Kuching, Sarawak.

“Jenayah penculikan kucing juga perlu diberi perhatian serius dan perlu dianggap jenayah berat memandangkan ia melibatkan nyawa, wang ringgit, emosi pemilik dan keselamatan jangka panjang semua pihak,” tegasnya.