Jerebu: Sekolah kembali beroperasi selepas 10 hari ditangguhkan

Sesi persekolahan dimulakan secara berfasa susulan penutupan sementara sekolah akibat keadaan jerebu di Johor. Foto Bernama
Sesi persekolahan dimulakan secara berfasa susulan penutupan sementara sekolah akibat keadaan jerebu di Johor. Foto Bernama
A
A
A

​BATU PAHAT - Sesi persekolahan secara bersemuka di Johor kembali beroperasi secara berfasa bermula hari ini, selepas 10 hari ditangguhkan berikutan jerebu.

​Pengoperasian semula sekolah itu selari dengan peningkatan kualiti udara di negeri ini apabila semakan menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) mendapati tiada kawasan di Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 8 pagi tadi.

​Tinjauan Bernama di Sekolah Kebangsaan (SK) Bindu di sini mendapati murid hadir seawal 6 pagi dengan sebahagian besarnya berdisiplin memakai pelitup muka sebagai langkah berwaspada.

Murid Tahun Enam SK Bindu, Muhd Qayyum Rayyan Mohd Najib, 12, berkata, dia sangat teruja sebaik mendapat tahu sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ditamatkan.

​"Saya terus kemas buku dan alat tulis semalam. Disebabkan terlalu teruja untuk bertemu rakan-rakan dan guru, saya menyiapkan pakaian sekolah dan tidur lebih awal," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu yang tinggal di Taman Bistari, Tongkang Pechah.

​Qayyum mengakui pembelajaran di dalam kelas lebih baik berbanding PdPR kerana dapat berinteraksi terus dengan guru, sekali gus memudahkan dia memahami mata pelajar yang diajar.

Harapan sama disuarakan bapanya, Mohd Najib Paiman, 50, yang bersyukur kerana sesi persekolahan bersemuka lebih teratur dan memberikan fokus optimum kepada murid.

​"Anak-anak sekolah rendah lebih mudah menumpukan perhatian di dalam kelas berbanding menghadap skrin peranti di rumah.

"Tambahan pula, PdPR berdepan pelbagai kekangan seperti gangguan capaian Internet, masalah bateri, serta isu berkongsi peranti dengan adik-beradik," katanya.

Artikel Berkaitan:

​Di Johor Bahru, seorang pekerja swasta, Mohd Farhaan meluahkan rasa lega apabila anaknya dapat kembali ke sekolah bagi menduduki peperiksaan akhir tahun.

​"Minggu lepas anak saya sudah selesai menduduki peperiksaan akhir tahun di sekolah agama. Harapnya keadaan jerebu tidak memburuk lagi kerana sesi persekolahan hanya berbaki kira-kira sebulan sebelum penggal tahun ini berakhir," katanya kepada Bernama.

​Senada dengan pandangan itu, seorang suri rumah, Nabillah Salleh, 37, berkata, dia  membekalkan pelitup muka di dalam beg sekolah anaknya sebagai langkah berwaspada sekiranya kualiti udara kembali merosot.

​"Kami bimbang kesihatan anak-anak, lebih-lebih lagi pada minggu peperiksaan ini. Walaupun jerebu sudah beransur pulih, langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil. Saya membekalkan dua keping pelitup muka di dalam beg anak," katanya ketika ditemui Bernama di sekitar SMK Sri Rahmat, Johor Bahru.

​Sementara itu di Mersing, tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin menyaksikan pelajar hadir penuh bersemangat seawal 7 pagi meskipun dalam suasana hujan rintik.

Pergerakan pelajar yang hadir berjalan kaki, menaiki motosikal, mahupun dihantar ibu bapa berjalan lancar dan terkawal.

​Pembukaan sekolah menengah di daerah berkenaan menyaksikan kehadiran pelajar Tingkatan Lima yang akan menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu (UBBM) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala pelajar Tingkatan Satu menduduki Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dan Tingkatan Empat menjalani Peperiksaan Akhir Tahun.

​Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali memaklumkan, pembukaan sekolah di Johor dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa pertama pada Isnin dan Selasa ini dihadkan kepada pelajar yang perlu menduduki peperiksaan mengikut jadual ditetapkan.

​Beliau berkata, fasa kedua pula bermula pada Rabu dengan semua sekolah di seluruh Johor dijadual beroperasi sepenuhnya seperti biasa, tertakluk kepada perkembangan semasa kualiti udara.

Sebelum ini, penutupan semua sekolah di Johor selama 10 hari melibatkan lebih 1,000 sekolah dan kira-kira 600,000 pelajar susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!